Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata PAS berpegang kepada 'roh' keputusan muktamar minggu lalu untuk menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa pusat PAS mengkaji hubungan PAS dengan DAP.

Menurutnya lagi, keputusan DAP mengumumkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud, selepas menerima keputusan muktamar yang meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PAS, adalah pandangan DAP.

"Kita berpegang kepada 'roh' keputusan muktamar untuk menyerahkan kepada AJK PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk mengkaji hubungan PAS dengan DAP.

"Keputusan itu (Pakatan tak wujud lagi) adalah pandangan DAP," kata Idris bagi mengulas keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP itu hari ini.

Muktamar PAS menerima usul Dewan Ulama PAS tanpa bahas supaya Majlis Syura dan PAS pusat memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP tetapi kekal bersama PKR dan Pakatan Rakyat.

MP Bukit Gantang juga berkata Jawatankuasa pusat PAS Pusat akan bermesyuarat pada 21 Jun ini berkemungkinan akan membincangkan mengenai pembentukan lajnah dalam PAS.

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu bagaimanapun tidak pasti sama ada keputusan muktamar itu akan dibincangkan dalam pertemuan itu dan bila Majlis Syuara Ulama akan bersidang.

Belum berkubur

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz menepis bahawa Pakatan telah berkubur memandangkan PKR dan DAP masih berada dalam gabungan pembangkang itu dan ia pandangan DAP.

"Tak habis. (Pakatan) akan kekal dengan dua parti. Kita dalam Pakatan adalah gabungan parti. Selagi Pakatan ada lagi dua parti di atas maka gabungan itu wujudlah.

"(Ia) bergantung kepada PAS dan PKR. Pakatan ini gabungan dua parti ke atas," katanya yang juga MP Pasir Mas.

Sementara itu, MP Shah Alam Khalid Samad pula keputusan yang diputuskan oleh DAP menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya menjaga tindakan dan percakapan.

"(Ini) kerana Pakatan bukan sesuatu yang dapat diwujudkan dan diperkukuhkan dalam jangka masa pendek.

"Ia hasil perjuangan bertahun-tahun tetapi apabila mulut tak dijaga, kata-kata tak dijaga, tindak-tanduk tak dijaga, maka inilah hasilnya," katanya.

Lihat Komen
ADS