Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa berkata pembelian sebuah blok apartmen di Melbourne, Australia dilakukan mengikut prosedur dan mendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Urusan pembelian itu bermula pada 2012 dan diluluskan MARA Inc pada akhir 2012 dan di bawa ke Majlis MARA untuk kelulusan dan seterusnya di bawa ke kelulusan kementerian wilayah luar bandar dan di bawa ke Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh perdana menteri dan dapat kelulusan.

"Maklumat yang diberi ialah pihak Majlis mempertimbangkan untuk membeli dengan nilai harga pasaran," katanya.

Annuar yang juga MP Ketereh berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat MARA hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mengetahui berhubung bayaran lebih sebanyak RM13.7 juta terhadap pembelian Dudley International House oleh MARA Inc.

Akhbar Australia The Age mendakwa sekumpulan pegawai MARA yang amat kaya, menggunakan dana pelaburan kerajaan Malaysia, untuk membida harga blok apartmen itu daripada A$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5 juga (RM65 juta), dengan wang perbezaan itu didakwa dijadikan sebagai rasuah di tanair.

Dalam sidang media yang sama, Annuar memberi tempoh tujuh hari kepada anak syarikatnya MARA Inc untuk menjawab berhubung dakwaan skandal pembelian itu seperti yang dilapor media itu.

Beliau juga berkata MARA akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti pembelian blok apartmen itu yang dijadikan asrama pelajar tajaan agensi kerajaan itu sepertimana yang dilapor akhbar itu.

Dalam catatan Facebook lewat hari ini, Annuar merungut tentang laporan berita yang menjuruskan kepada peranan Najib berkaitan urusniaga tersebut.

 

"Apakah motif TV Malaysiakini dan Malaysian Insider memilih tajuk "Najib luluskan..." sedangkan saya dengan jelas menyebut kelulusan oleh economic council.

"Ini adalah procedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan wajib diikuti. Tidak berbangkit soal kelulusan oleh mana-mana individu termasuk Dato Seri Najib. Saya harap perkara ini jelas," tulisnya.

 

Semasa sidang akhbar itu, Malaysiakini secara khusus bertanya kepada pengerusi Mara itu sama ada perdana menteri perlu meluluskan urusniaga itu sebelum pembelian dibuat, yang Annuar menjawab: ".Ya, ia adalah sebahagian daripada prosedur"

Rakaman sidang akhbar itu di bawah:

Lihat Komen
ADS