Keputusan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menaikkan harga minyak sebanyak 10 sen bagi RON95 dan 20 sen bagi RON97 menunjukkan jemaah menteri yang ada sudah terpisah sepenuhnya dari suara hati rakyat di bawah.

Kenaikan harga minyak ini berlaku pada kala rakyat sudah pun terbeban dengan kenaikan harga barang terutamanya akibat GST.

Semakan harga minyak mentah dunia bagi sepanjang bulan Jun 2015 menunjukkan penurunan dari harga sekitar AS$66 setong pada awal Jun kepada harga sekitar AS$62 setong di akhir Jun.

Semakan harga RON95 yang dipadankan kepada harga minyak mentah juga menunjukkan bahawa harga RON95 ditetapkan pada RM1.70 seliter bagi Februari 2015 pada kala harga minyak mentah dunia sekitar AS$60 setong.

Ini bermakna apabila harga minyak mentah dunia menurun ke arah paras AS$60 setong seperti yang berlaku di akhir Jun, harga RON95 sepatutnya diturunkan ke arah paras RM1.70 seliter.

Sebaliknya, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menaikkan harga RON95 yang bertentangan dengan paras harga minyak mentah dunia.

Saya telah berulang-ulang kali menegaskan bahawa Datuk Seri Najib Razak mesti menangani masalah kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding dollar Amerika Syarikat dengan segera dan berkesan kerana kejatuhan itu membebankan rakyat melalui dua cara:

1. Harga barang import akan meningkat terutamanya makanan mentah kerana negata masih banyak bergantung kepada import

2. Rakyat tidak akan dapat menikmati harga minyak yang murah hasil dari paras harga minyak mentah yang rendah di pasaran dunia kerana nilai matawang ringgit yang rendah.

Walaupun bukan faktor yang paling dominan, kejatuhan nilai mata wang ringgit menyebabkan rakyat Malaysia menjadi mangsa menanggung harga petrol dan diesel pada harga yang lebih tinggi.

Kegagalan menangani kejatuhan nilai matawang ringgit ini adalah tanggungjawab Datuk Seri Najib Razak sebagai menteri kewangan.

Datuk Seri Najib Razak juga telah membuat beberapa keputusan percukaian yang menambah beban kepada rakyat. Saya telah dedahkan di awal tahun 2015 bagaimana pentadbiran beliau mengenakan cukai tersembunyi ke atas petrol dan diesel sehingga mengutip anggaran RM2 bilion dalam tempoh 3 bulan.

Sejak 1 April 2015 pula, beliau mengenakan cukai GST ke atas setiap rakyat dan sebanyak RM6 bilion telah dikutip dalam tempoh 2 bulan. Ini bermakna cukai yang dikutip dari setiap rakyat bagi pembelian petrol, diesel dan barang keperluan bagi tempoh 6 bulan pertama tahun ini telah melebihi RM10 bilion.

Oleh sebab itu saya mengulangi gesaan saya sebelum ini bahawa kerajaan perlu mengekalkan subsidi minyak, kalau pun dalam bentuk yang berbeza dari amalan sebelum ini.

Saya telah mencadangkan sebelum ini bahawa kerajaan perlu memberi subsidi sekurang-kurangnya 30 sen seliter bagi mengambil kira perubahan kadar matawang dan faktor lain.

Anggaran saya jika subsidi 30 sen seliter bagi setiap pembelian petrol atau diesel ini diperkenalkan, Kerajaan Persekutuan menanggung sekitar RM7 bilion subsidi setahun.

Jika ia diperkenalkan bermula Ogos 2015 ini, jumlah tanggungan kerajaan persekutuan bagi tahun ini hanyalah RM3 bilion berbanding lebih RM10 bilion yang telah dikutip dalam bentuk cukai petrol dan GST dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini.

Ini bermakna kerajaan persekutuan ada kemampuan kewangan untuk menampung subsidi 30 sen seliter ini dan rakyat berhak mendapatkannya kerana rakyat telah membayar cukai tambahan yang tinggi sejak awal tahun ini.

Saya juga akan memfailkan rang undang-undang persendirian untuk mewujudkan Tabung Penstabilan Harga Minyak di Parlimen dalam sesi akan datang.

Mekanisme tabung seperti ini sudah menjadi keperluan mendesak kerana Datuk Seri Najib Razak enggan mengekalkan subsidi minyak.

Saya menyeru supaya rakan-rakan ahli Parlimen dari BN juga menyokong rang undang-undang persendirian ini kerana ia menyentuh kebajikan rakyat terbanyak.

Saya juga akan duduk dengan pelbagai kumpulan termasuk NGO untuk menggerakkan satu kempen mendesak agar subsidi minyak dikembalikan.

Saya yakin Datuk Seri Najib Razak hanya takut dengan gelombang bantahan rakyat dan jika bantahan itu jelas, beliau akan terpaksa mengembalikan subsidi minyak untuk meringankan beban rakyat.


RAFIZI RAMLI naib presiden PKR dan MP Pandan.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini