Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebagai Sasterawan Negara Datuk A Samad Said adalah orang yang faham benar realiti dunia itu yang dianggap sesetengah pihak boleh menjadi penyatu kepada sesuatu bangsa.

Beliau yang mesra dipanggil Pak Samad berkata, sasterawan sepatutnya bersifat sebagai pemikir dan pada masa sama, berkarya untuk menjemput masyarakat bersatu.

Namun realiti di Malaysia, kata Samad, adalah berbeza daripada Indonesia.

Ditemu bual Malaysiakini , Samad berkata, suatu ketika dulu dia yakin sastera boleh menjadi wadah menyatukan orang ramai tetapi keyakinannya berubah.

"Mungkin sastera (di) Indonesia bolehlah, tapi kalau sastera Malaysia tak boleh," katanya.

Apabila memilih untuk menyertai DAP baru-baru ini, beliau berharap akan ada rakan sealiran yang memahami namun hakikatnya, tiada ucapan atau dorongan daripada semua Sasterawan Negara.

"Tak dapat! Ertinya sama ada mereka neutral (tidak berpihak) ataupun mereka di sebelah sana. Saya seorang di sisi sini, tapi saya tak kisah sangat," katanya.

Kata Samad, sasterawan di Indonesia adalah berbeza kerana mereka datang dari latar revolusi sedangkan di negara ini kemerdekaan diperoleh kerana "diberikan".

"Di sana anda perlu melawan," katanya.

Dalam temu bual itu juga Samad ditanya mengenai latar belakang kemasukannya ke DAP.

Berikut adalah petikan temu bual berkenaan:

Kenapa masuk DAP?

Saya ikuti semua perkembangan dalam masyarakat dan semenjak berada dalam BERSIH, agak terdedah kepada semua ini dan saya rasakan bahawa tidak cukup untuk hanya berada di tengah NGO. Bukan nak mengatakan ia tidak berkesan, tetapi dalam usia saya, saya mahu lebih agak terlibat dan saya dapati dalam pembacaan saya, kajian saya, nilaian saya, yang saya rasakan boleh saya sandar ialah DAP.

Ada beberapa sebab. Pertama, tidak ramai tahu saya kenal Lim Kit Siang bukan baru.  Saya kenali beliau mungkin pada akhir 1960-an. Walaupun kami tidak begitu akrab, tetapi (kami) berada di dunia yang sama. Cuma dia lebih siasah, lebih politik dan saya lebih sastera.

Adalah jumpa sesekali dan kadang-kadang kami berbual sungguh-sungguh, kadang-kadang kami berbual, dan ada usikan semua. Saya ikuti perkembangan parti siasah yang lain tapi dalam kajian saya dan nilaian saya, (yang) saya nampak kukuh dan baik organisasi serta wataknya boleh dipercayai, bersedia untuk berdialog secara intelektual - bukan emosi - adalah DAP.

Dua tahun lalu memang ada cita-cita untuk terus libat diri tapi saya tak tahu bagaimana supaya tidak nampak Pak Samad ni gilaan; terus saja masuk.  Jadi saya tunggu saat sebenarnya. Ada satu waktu Kit Siang kata, alangka eloknya kalau orang seperti Bapak ini berada dalam parti. Dia tidak menawarkan apa-apa, cuma mengarangkan begitu saja. Jadi saya kata: Oh, saya pun memang lama berminat. Di situlah mulanya jadi. Ertinya bukan memujuk tapi ini terjadi secara spontan.

Bila Lim bagi saranan?  

Hari itu ada satu sidang media di Ibu Pejabat DAP. Ambiga (bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan) pun ada di situ. Di waktu itulah.

Saya fikir lebih bermakna jika saya menyertai DAP kerana dalam dunia (saluran) lain benda itu (perubahan) tidak dapat bergerak. Anda tidak boleh mengubah negara melalui apa saja cara kecuali politik.

Saya tahu ia berbahaya dan bermacam ragam tetapi saya rasa ia satu-satunya wadah yang sangat baik.

Kenapa tak masuk parti lain seperti PAS, PKR?

Saya berlegar sangat lama dengan PAS dan PKR. Kebanyakan mereka mengenali saya. Malah dalam pilihan raya lalu - walaupun saya bukan ahli - saya berkempen dengan mereka. Namun saya memikirkan dua parti itu tidak sesuai. Tidak begitu mewakili Malaysia. DAP mewakili Malaysia.  Jadi saya fikir itu satu wadah yang bagus untuk saya. Saya tidak minta apa-apa, saya cuma ingin menyumbang. Pada usia saya begini, saya tak perlukan apa-apa.

Tanggapan DAP ini cauvinis?

Saya fikir cauvinis dikatakan itu biasanya media Melayu saja. Saya tak tahu media Cina, tapi media Inggeris sesekali menyatakan begitu. Tapi kalau kita yakin kita harus berlegar di sekitar orang (yang dikatakan cauvinis) itu. Saya kenal Kit Siang, Ronnie Liu (bekas Exco Selangor), semua saya kenal. Mereka ini memang tidak memujuk saya (menyertai DAP), jadi kenal-kenalan, berdialog, saya lihat DAP barangkali sesuai. Saya ingin memberi sumbangan kepada parti yang dianggap cauvinis padahal semangatnya tidak.

Bagaimana nak perbetulkan persepsi orang?

Saya tak tahu macam mana caranya tapi kalau ada (aktiviti) membabitkan DAP, saya bersedia berada di tengah-tengahnya dan membuat kontak dengan masyarakat Melayu. Barangkali itu akan membantu. Ia memakan masa, tetapi akan berjaya.

Adakah Pak Samad masuk DAP untuk tunjukkan DAP bukan cauvinis?

Secara tidak sedar, saya rasa ya. Tapi biarlah, sama ada secara sedar atau tidak saya mempercayainya.

Bagaimana dengan tuduhan menjadi hamba DAP?

Sebenarnya semua kita adalah hamba. Anda berkhidmat dan menjadi ahli parti, anda berkhidmat antara satu sama lain, kerana yang menjadi 'tuan' adalah cita-cita idea anda.

Bagaimana Bapak dapat menyumbang kepada DAP?

Saya kira ramai teman dalam DAP itu saya kenal dan dalam perbincangan mereka, fikiran saya dikutip juga. Dialog itu ada, jambatan itu ada, itu penting. Setakat ini saya fikir barangkali tidak ada watak Melayu yang boleh dijadikan jambatan untuk memahami masyarkat Melayu.

So , bantu DAP mendapatkan undi melayu? Saya try -lah whatever I can.

Lihat Komen
ADS