BERITA Malaysiakini

Web pro-BN tarik laporan tentang akaun PM

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

MYKMU menarik balik laporan bahawa Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Nik Othman Ariff Kamil membersihkan nama Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dakwaan dana 1MDB disalur ke akaunnya.

Laman pro-BN itu menjelaskan keputusan itu dibuat susulan permintaan beberapa pihak, termasuk sumber yang rapat dengan Faisal sendiri.

“Atas permintaan beberapa pihak termasuk sumber rapat dengan Nik Faisal sendiri, kami menarik balik artikel sebelum sehingga siasatan task force (pasukan petugas) selesai.

“Harap maklum,” demikian nota editorial yang dikemaskini sebentar tadi.

MYKMU sebelum itu dalam laporan eksklusifnya (gambar) berkata Faizal menafikan akaun-akaun yang terdapat dalam suratnya kepada AmBank merupakan akaun peribadi Najib, seperti didakwa media antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ).

MYKMU turut mencabar WSJ menunjukkan sebarang bukti bahawa Nik Faisal bertindak bagi pihak Najib Razak.

“Ini kerana berdasarkan surat yang disiarkan ia langsung tidak menyebut nama Najib Razak,” laporan itu dipetik.

SRC International sebelum ini anak syarikat 1MDB.

Menurut jawapan parlimen, ia diletakkan langsung bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Memetik sumber, MYKMU pagi tadi melaporkan bahawa Faisal kelihatan kecewa dan marah kerana perniagaan beliau, SRC International, dilibatkan dalam “pergaduhan politik” Najib dengan Tun Mahathir Mohamad, lapor MYKMU lagi.

“Ini semua akaun saya dan SRC International. Tiada kena mengena dengan perdana menteri mahu pun 1MDB,” beliau dipetik sebagai berkata.

Faisal juga dikatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membocorkan suratnya kepada AmBank dan akaunnya kepada umum.

Faisal juga, menurut sumber, berkata perniagaan mereka selepas keluar daripada 1MDB dibuat atas kepentingan perniagaan tersendiri.