mk-logo
Berita
'Tak hairan jika PM diheret ke mahkamah'
Diterbitkan:  Jul 8, 2015 3:52 AM
Dikemaskini: 8:01 AM

Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin berkata tidak menghairankan jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diheret ke mahkamah dengan tuduhan jenayah.

Ini kerana, Najib langsung tidak menafikan mengenai wang berjumlah AS$681 juta (kira-kira RM2.6 bilion) dalam akaun AmBank seperti didedahkan Wall Street Journal , kata Kadir.

“Sama ada akaun berkenaan masih cergas, tidak aktif atau sudah ditutup bukan isunya. Persoalannya ialah Mohd Najib pernah ada RM2.6 bilion dalam akaun itu.

“Kalau akaun itu tidak wujud, apa susahnya beliau sekali gus menafikannya atau AmBank menafikan yang akaun atas nama Mohd Najib itu tidak pernah wujud.

“Tetapi yang lebih utama bukan kewujudan akaun itu tetapi daripada mana datangnya dana AS$681 juta itu dan apa kegunaannya,” kata Kadir.

Bekas ketua pengarang kumpulan NSTP itu menulis demikian di blognya, kadirjasin.blogspot.com hari ini setelah meneliti kenyataan Najib berhubung tuduhan tersebut.

Dalam penjelasan itu, Najib hanya menyebut tidak pernah mengambil dana untuk kegunaan peribadi, sama ada dari 1MDB, SRC International atau pihak lain, kata Kadir.

“Sampai hari ini beliau tidak menafikan bahawa akaun atas nama beliau dengan simpanan AS$681 juta itu pernah wujud, tetapi ditutup tidak lama selepas pilihan raya umum 2013,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyenaraikan ahli politik terkemuka yang memilih untuk meletak jawatan apabila dikaitkan dengan kes rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

“Ada yang berakhir di mahkamah dan ada yang tidak, tetapi umumnya ahli politik yang terbabit meletakkan jawatan,” tambah Kadir bagi menguatkan telahannya.

Beliau juga membuat kesimpulan itu berdasarkan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan pasukan petugas khas berhubung kes itu.

Pasukan berkenaan turut melibatkan Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia

“Pembekuan enam akaun bank milik pihak-pihak yang dipercayai terlibat dengan kes akaun Mohd Najib pada 6 Julai memberi gambaran mereka tidak mahu berselindung lagi.

“Ia memperkukuhkan lagi bukti bahawa akaun yang didakwa oleh WSJ itu wujud,” kata Kadir.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini