Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengucapkan terima kasih di atas kunjungan kira-kira 10 wakil rakyat pembangkang ke ibu pejabatnya di Putrajaya pagi ini.

Pengarah Komunikasi Strategiknya, Datuk Rohaizad Yaakob berkata, beliau mengucapkan terima kasih terhadap sokongan yang diberikan.

"Terima kasih banyak-banyak kerana beri sokongan pada SPRM.

"Kami buat kerja kami sehabis baik secara jujur, telus dan sepenuh masa," katanya dalam sidang media di perkarangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Antara wakil rakyat yang hadir ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Turut hadir ialah Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu dan MP Pandan, Rafizi Ramli.

"Terima kasih banyak-banyak terutama kepada yang datang hari ini dan beri sokongan. Insya-Allah," kata Rohaizad lagi.

Kakitangan SPRM telah mengadakan solat hajat Selasa lalu untuk memohon kepada Allah supaya mereka diberi kekuatan untuk "melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin".

SPRM juga, dalam satu kenyataan, juga berkata, akan menyoal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung sumbangan RM2.6 bilion derma yang diterimanya.

Sehingga kini, tujuh pegawai SPRM telah sama ada ditangkap atau dipanggil oleh pihak polis dan mereka semua terlibat dalam penyiasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan pemindahan dana RM 2.6 bilion ke dalam akaun bank Najib.‎

Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin pula semalam bersumpah dengan nama Allah akan mencari dalang yang mengarahkan penangkapan anggota suruhanjaya itu. 

Lihat Komen
ADS