Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Apo? Ujang tutup: GST, ringgit dan tarikan pembaca

Kejatuhan nilai ringgit, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta harga kertas mahal nampaknya mengorbankan dua majalah kartun sekaligus.

 

Buat peminat Ujang dan Apo? , mereka terpaksa akur dengan penutupan majalah itu selepas wujud hampir 22 tahun sejak 1993.

 

Penutupan majalah kartun itu bermula tiga hari lalu.

 

Malaysiakini menghubungi beberapa kartunis untuk mendapatkan reaksi mereka serta cuba memahami apa yang berlaku.

 

Kartunis sambilan Apo? , Sireh atau nama sebenarnya Anuar Hassan berkata tidak wujud sebarang salah faham atau perselisihan antara pengkarya dengan pengurusan syarikat.

 

Sebaliknya, kata Sireh ia disebabkan kos operasi yang tidak mampu ditampung syarikat penerbit, MOY Publication.

 

Memetik kenyataannya di Facebook, Sireh berkata dia mendapatkan penjelasan daripada Pengarah Urusan syarikat MOY Publication Yusof Huzair.

 

Yusof dipetik sebagai berkata, syarikat itu tidak mampu menampung penerbitan majalah secara fizikal bagi jangka masa panjang.

 

Tak ada masalah

“Nilai ringgit Malaysia semakin jatuh, kos kertas semakin melambung, GST dan trend pembacaan terkini lebih ke arah atas talian.

 

“Dunia penerbitan majalah secara konservatif sedang mengalami kemuncupan,” katanya.

 

Sireh yang juga pensyarah animasi di Universiti Multimedia bagaimanapun berkata tidak tahu menahu mengenai cakap-cakap umum mendakwa majalah Ujang pernah bermasalah dengan kartunis Ibrahim Anon yang mencipta watak Ujang.

 

 “Kami sesama sendiri (kartunis MOY), alhamdulillah tidak ada masalah.

 

“(Isu) di luar tu, wallahualam. Jika ada bermasalah dengan pencipta Ujang, itu antara mereka. Saya tidak tahu,” katanya.

 

Seorang lagi kartunis, Taugeh, berkata majalah kartun itu perlukan nafas baru kerana ia dianggap tidak lagi relevan sebagai pembacaan generasi Y.

 

“Mungkin lawak dalam majalah perlu disasarkan kepada generasi dan teknologi baru,” katanya.

 

Sireh juga bersetuju GST dan kenaikan harga kertas adalah antara penyumbang kepada penutupan majalah Ujang dan Apo?.

 

Sementara itu pelukis dan penulis Abdullah Jones ( atas ) mempunyai pendapat sendiri mengapa kedua-dua majalah berkenaan akhirnya menutup operasi.

 

“Karya Ujang dan Apo tak best, sebab itu tutup,” katanya.

 

Menurut beliau, isi majalah itu terlalu kebudakan-budakan selepas ia berada di bawah pengurusan baru.

 

“Pembawakannya sudah lain.

 

“Entahlah mungkin juga sebab saya sudah tua,” katanya.

Lihat Komen
ADS