BERITA

Akhirnya pemimpin PAS 'jatuh setandan'

Khalid Samad

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Ogs 2015, 8:26 pagi

Perkembangan mutakhir ini, dengan kemunculan Gerakan Harapan Baru (GHB) telah menyebabkan ramai ahli PAS berada dalam keadaan kebingungan. Mereka tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku?

Mengapa PAS yang selama ini kelihatan kukuh bersatu dan sedang berada dalam kedudukan yang antara paling berjaya sepanjang sejarahnya, tiba-tiba bagaikan berpecah dua?

Bagi sebahagian ahli, soalan yang timbul dijawab secara mudah dan dengan kaedah menghukum seperti, “tiadanya keikhlasan”, “proses pembersihan”, “sifat munafik”, “kecewa” dan sebagainya.

Namun dijawab pula sebahagian yang lain bahawa, “mereka yang terlibat adalah orang-orang lama, lebih 30 tahun bersama PAS dan telah berkali-kali diuji dan terbukti keikhlasan mereka.

Sekiranya sebab-sebab seperti itu adalah puncanya, sudah pasti sudah lama mereka meninggalkan perjuangan ini”. Oleh itu ramai dari kalangan ahli biasa menolak penjelasan yang mudah seperti itu.

Saya terpaksa menjelaskan bukan sahaja yang tersurat tetapi juga yang tersirat. Mungkin bacaan saya tepat, tetapi mungkin juga sebaliknya, namun dalam usaha memahami keadaan yang telah berlaku, penjelasan yang saya kemukakan ini adalah, bagi saya, yang paling munasabah dan rasional.

Bibit-bibit perpecahan

Masalahnya pada hemat saya bermula selepas sahaja kemenangan tercapai dalam PRU 2008. Boleh dikatakan ianya merupakan ujian kemenangan buat PAS. Pada ketika itu, PAS dan PKR berada dalam Barisan Alternatif (BA).

Untuk menghadapi PRU 2008, telah diwujudkan persefahaman politik antara BA dan DAP demi mengelak berlakunya pertandingan tiga penjuru apabila berdepan dengan Umno/BN.

Tanpa dijangka, BA dan DAP telah mencapai keputusan yang begitu baik sehingga memungkinkan pembentukan kerajaan di lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Oleh kerana ianya tidak dijangka, maka PAS agak bercelaru menanganinya!

Sehari selepas keputusan diumumkan, terdapat pimpinan PAS yang telah mengatur pertemuan dengan pimpinan Umno. Yang sah dan nyata, cadangan membentuk kerajaan bersama Umno/BN telah dipertimbangkan untuk Selangor dan Perak.

Saya tidak dengar cadangan sama dipertimbangkan untuk Kedah. Mungkin untuk Kedah ianya tidak dianggap perlu atas sebab PAS adalah majoriti. Ianya juga tidak releven untuk Kelantan.

Di Pulau Pinang pula, jumlah kerusi DAP dan PKR mencukupi untuk pembentukan kerajaan. Maka tiada apa yang boleh dilakukan PAS kecuali untuk bersama.

Pemimpin utama PAS tidak selesa

Racangan bertemu pimpinan Umno ini mungkin atas sebab rasa tidak selesa pemimpin utama PAS dengan pilihan membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP di Selangor dan Perak. Pada ketika itu, di kedua-dua negeri tersebut, PAS mempunyai kerusi paling sedikit berbanding PKR dan DAP.

Pada masa yang sama, barisan pembangkang kesemuanya Melayu Islam dari Umno. Maka adalah dipercayai pimpinan utama PAS merasakan amat keliru untuk PAS berada di pihak majoriti bukan Melayu Islam berhadapan dengan pembangkang Melayu Islam.

Walaupun usaha rundingan ini telah akhirnya berjaya dipintas, namun sikap tidak selesa memerintah bersama PKR dan DAP dalam keadaan PAS tidak dominan terus menghantui pimpinan utama di dalam PAS.

Hasil dari itu, timbul pemikiran yang mempertikaikan kebijaksanaan pendekatan Pakatan Rakyat kerana ia memungkinkan PAS memerintah bersama tetapi dalam keadaan minoriti.

Namun rasa tidak selesa ini tidak dikemukakan untuk dibincang tetapi sebaliknya dipendam. Pada masa sama, para pemimpin ini mengulangi slogan “kukuhkan Pakatan” dalam setiap ucapan, walaupun hati mereka berkata sebaliknya.

16 September, kerajaan perpaduan

Di dalam kerangka pemikiran dan logik yang sama, maka cadangan September 16 anjuran DSAI ditolak pimpinan utama PAS. ‘Majoriti Islam Melayu’ adalah syarat yang tidak mampu dipenuhi pada ketika itu.

Mungkin hasil rasa tidak selesa ini juga, maka cadangan presiden PAS mengemukakan cadangan kerajaan perpaduan pada 2009 tanpa apa-apa perbincangan di peringkat PAS Pusat mahu pun Majlis Syura.

Mungkin cadangan membentuk kerajaan perpaduan ini dilihat sebagai satu-satunya cara untuk melepaskan PAS dari dilema bersama PKR dan DAP tanpa dominasi PAS.

Pada ketika itu kerusi PAS di Parlimen juga adalah yang paling sedikit berbanding rakan Pakatan Rakyat. Melalui kerajaan perpaduan, paling kurang, PAS dalam membentuk majoriti ‘Melayu Islam’ kalaupun tidak dapat mendominasi.

Akan tetapi segala perbincangan berhubung kerajaan perpaduan ini telah dipatahkan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sehingga akhirnya ianya ditarik balik secara rasmi.

Pemimpin utama PAS tidak boleh menerima sebuah kerajaan dengan PAS atau ‘Melayu Islam’ sebagai minoriti, di Parlimen dan di beberapa negeri, yang mungkin terbentuk melalui kemenangan Pakatan Rakyat.

Akan tetapi, ramai dari pimpinan PAS Pusat tidak melihatnya sebagai satu masalah yang mewajibkan PAS mempertimbang kembali keterlibatannya dalam Pakatan. Pada masa sama, ahli biasa semakin teruja dengan terbentuknya Pakatan. Ini terbukti melalui keputusan pemilihan muktamar PAS pada tahun 2011.

Pada muktamar 2011 saya sendiri telah dipilih sebagai AJK PAS Pusat setelah gagal beberapa kali sebelum itu. Kemenangan saya diyakini atas sebab sikap pro-Pakatan saya yang turut disokong perwakilan pada ketika itu.

Penyingkiran pemimpin pro-Pakatan

Pada ketika inilah, pada hemat saya, ada yang berpendapat, saf pimpinan AJK PAS Pusat perlu ditukar dengan yang tidak terlalu pro-Pakatan demi menangani masalah ini.

Pada masa sama, perlu juga ditimbulkan keresahan ahli terhadap keterlibatan PAS dalam Pakatan. Kalau tidak, maka hubungan PAS dan Pakatan akan benar-benar dikukuhkan dan dengan itu dilema pimpinan utama PAS akan berterusan.

Masalah ini ditangani melalui strategi serampang dua mata seperti berikut:

1. Pimpinan yang terlalu pro-Pakatan perlu dijatuhkan pada pemilihan Muktamar dengan apa cara sekalipun, termasuk pendekatan melabel dan fitnah

2. Hubungan antara PAS dan Pakatan perlu digodak sehingga ahli terpaksa pilih antara PAS atau Pakatan

Kempen fitnah bermula

Maka sejak selepas muktamar 2011, usaha dimulakan untuk menyebarkan kebencian terhadap pemimpin tertentu. Istilah “parasit”, “Anwarinas” dan “Erdogan” mula dipopularkan dan pemimpin yang disasarkan ini turut dikritik kerana “tidak menyokong idea kerajaan perpaduan yang dikemukakan presiden”. Mereka dituduh menolak konsep kerajaan perpaduan kerana “mementingkan kepimpinan dan politik DSAI lebih dari politik DS Presiden”.

Dalam muktamar PAS 2013, usaha untuk menjatuhkan pimpinan yang terlalu pro-Pakatan telah diusahakan tetapi menemui kegagalan. Kewujudan usaha ini telah didedahkan oleh Dr Hassan Ali melalui video masyhurnya yang dirakam di satu majlis di Melaka pada 2013.

Kegagalan ini menyebabkan berlakunya usaha yang lebih gigih ke arah pembersihan saf pimpinan dari anasir yang kononnya didakwa lebih setia kepada Pakatan berbanding PAS.

i) Pembersihan dalam Muktamar 2015

Dengan itu strategi yang lebih kemas telah disusun bagi menghadapi Muktamar 2015.

Langkah pertama dilakukan sebaik sahaja selesai muktamar 2013. Pesuruhjaya PAS negeri yang terlalu komited dengan Pakatan ditukar. Antaranya, Dr Rani Osman, yang memimpin PAS Selangor sehingga berjaya mencapai prestasi terbaik sepanjang sejarahnya dengan memenangi 15 kerusi DUN. Sambil itu muka baru turut dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Perak walaupun terdapat mereka yang lebih lama dan lebih layak.

Langkah kedua adalah perlaksanaan program dalaman parti yang menjalankan kempen memburuk-burukkan pemimpin pro-Pakatan. Program dalaman seperti Liqa’ Fikri, Liqa’ Siyaasi, Nekad dan sebagainya dianjurkan sepanjang hampir dua tahun dengan tujuan menanamkan kebencian ahli terhadap kelompok pemimpin ini.

Langkah ketiga, mempopularkan individu tertentu melalui program dalaman ini manakala pemimpin yang ingin ditolak terus diasak dan diserang dengan didakwa membawa fikrah menyimpang dari dasar Islam. Tuduhan bahawa kononnya ada usaha untuk menjatuhkan Presiden mula diuar-uarkan melalui program dalaman seperti ini.

Langkah keempat adalah untuk menguasai cawangan dan kawasan tertentu sebelum muktamar 2015 supaya usaha menukar saf pimpinan dapat dijayakan. Ini menjadi lebih mudah dengan kehadiran asatizah muda yang telah diasuh sejak 2009 dengan sikap tertentu. Mereka telah muncul sebagai pimpinan cawangan dan kawasan.

Langkah kelima dan terakhir, menghalang mereka yang ingin dijatuhkan dari bertemu dengan ahli melalui program parti. Program yang ingin diadakan oleh pimpinan ini pula dituduh “berniat berkempen” dan ditolak oleh pimpinan beberapa negeri. Namun pada masa sama, tetapi program untuk menjatuhkan pemimpin pro-Pakatan ini terus dianjurkan.

Lima langkah seperti di atas telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ianya tidak mungkin suatu kebetulan.

ii) Aduan kepada presiden

Apabila persoalan mengenai kempen jahat ini diadu kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa mesyuarat AJK PAS Pusat, ia sekadar dijawab dengan penjelasan bahawa fitnah dan dakyah adalah “perkara biasa”.

Kemudian, disyorkan pula agar semua yang difitnah dan diberi gelaran menghina menerimanya sebagai “sumber pahala”. Pokoknya, bibit perpecahan disemai dan dibiarkan begitu sahaja.

Terdapat juga pimpinan yang “memfatwakan” bahawa label-melabel adalah “sunnah”. Mereka mengemukakan berbagai hujah untuk mempertahankan amalan terkutuk ini.

Yang paling mengelirukan adalah dakwaan bahawa Abdullah Azam telah berpesan supaya sekiranya ada sepuluh butir peluru, maka sembilan daripada adalah untuk pengkhianat dan hanya satu untuk musuh luar.

Walhal, Abdullah Azam menceritakan mengenai perjuangan untuk mencapai kemerdekaan menentang penjajah dan “pengkhianat” yang dimaksudkan adalah orang tempatan yang bersekongkol dengan penjajah, bukan ahli jemaah sendiri.

Tanpa berusaha untuk menghentikannya, media sosial dimanfaatkan untuk memperhebatkan lagi usaha dakyah dan fitnah terhadap pimpinan yang ingin dijatuhkan. Gelaran yang lebih serius diperkenalkan termasuk “liberal, sekular, plural, antihudud, antiulama” dan sebagainya.

iii) Usaha kemuncak

Pada muktamar 2014, istilah “barua” dan “broker” diperkenalkan oleh Datuk Seri Presiden sendiri. Melaluinya, pendirian Datuk Seri presiden yang jelas berpihak semakin terserlah. Datuk Seri presiden menggelar saf pimpinan yang sedia ada pada ketika itu sebagai “pilihan muktamar, bukan pilihan dirinya”.

Menjelang Muktamar 2015, Datuk Seri presiden mengeluarkan kenyataan sama ada “pilih pimpinan pilihan PAS atau pilihan DAP”. Juga disebut, “muktamar sebagai medan membersihkan PAS dari pemimpin sekular”.

Dengan usaha gigih yang dilakukan serta keterlibatan pimpinan utama sendiri, maka tidak hairan bahawa akhirnya matlamat pertama tercapai dengan cemerlangnya. Pimpinan yang ingin dijatuhkan dapat dijatuhkan secara setandan.

Bahagian kedua esok saya akan cuba menjelaskan strategi kedua, iaitu menimbulkan keresahan ahli terhadap PR. Ianya telah dilaksanakan dan jelas kelihatan semakin berjaya.


KHALID SAMAD MP Shah Alam dan bekas anggota jawatankuasa pusat PAS.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.