Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak enggan mengulas dakwaan Sarawak Report bahawa sebahagian besar wang yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum pilihan raya umum ke-13 telah dipindahkan ke luar negara.

Salleh berkata ini kerana laman web pembocor maklumat itu didakwanya mempunyai agenda tersembunyi mereka sendiri dan dakwaan mereka berdasarkan kononnya dokumen yang diganggu.

"Saya tidak mahu komen kerana bagi saya, Sarawak Report mempunyai motif dan ia terbukti bahawa beberapa dokumen pada mereka telah diganggu.

"Bagaimana boleh saya komen berkaitan dokumen yang telah diganggu?" katanya dalam sidang media selepas majlis 'Kayuhan Sehati Sejiwa' di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Sarawak Report mendakwa AS$650 juta daripada AS$680 juta yang telah didepositkan ke dalam akaun persendirian Najib telah dipindahkan kembali ke Tanore Finance Corporation di Falcon Bank di Singapura selepas pilihan raya umum ke-13.

Beberapa minggu selepas akhbar Wall Street Journal melaporkan bahawa berbilion yang didakwa dana 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun Najib, kerajaan akhirnya mengakui dana tersebut adalah derma politik untuk kegunaan Umno.

Dakwaan bahawa dokumen yang digunakan oleh Sarawak Repost telah diganggu timbul selepas penahanan bekas eksektif PetroSaudi International Xavier Andre Justo di Thailand berhubung dakwaan cuba mengugut bekas majikannya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS