Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anggota PAS yang terikat dengan baiah parti dinasihat merujuk mahkamah syariah terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berhijrah ke parti lain.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, hanya mahkamah itu dapat memutuskan jalan keluar, terutama bagi kes melibatkan taklik atau lafaz cerai bersyarat.

"Mana-mana pihak sekali pun sama ada mufti, timbalan pesuruhjaya PAS atau presidennya sendiri tidak boleh mengesahkan perkara tersebut.

“Mahkamah sahaja yang ada kuasa untuk sahkan perkara tersebut dan bukan pihak lain.

“Perkara ini semua tidak boleh diputuskan di khalayak begitu, maksudnya wakil rakyat yang ada baiah ini perlu membuat permohonan kepada mahkamah untuk mengesahkan sama ada jatuh atau tidak (talak),” kata Musa.

Musa juga berkata, sekiranya pihak suami enggan merujuk kepada mahkamah, isterinya boleh berbuat demikian bagi pihak pasangan.

“Sebab isteri dia juga akan menerima kesan daripada baiah ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Kesan pada banyak pihak

Musa juga mengingatkan bahawa baiah taklik perlu dirujuk kepada mahkamah kerana ia memberi kesan kepada banyak pihak, termasuk anak-anak.

Isu baiah timbul selepas sekumpulan bekas pemimpin kanan PAS mengumumkan mengaktifkan dan menjenamakan semula Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) sebagai sebuah parti Islam dengan nama baru Parti Amanah Nasional (AMANAH).

PAS mewajibkan semua calon mewakili parti itu dalam pilihan raya mengucapkan ikrar taat setia.

Di sesetengah negeri ia melibatkan lafaz

cerai talak tiga, seperti kes melibatkan anggota parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli di Kelantan.

Pertikaian kembali panas selepas menteri besar Kelantan yang juga timbalan mursyidul am PAS Datuk Ahmad Yaakob semalam berkata pernikahan Hatta secara automatik terbubar.

Sementara itu, di Selangor, dua wakil rakyat PAS Khalid Samad dan Dr Mariah Mahmud akan membayar kafarah (denda) dengan memberi makan seratus orang fakir miskin kerana melanggar baiah esok.

Cukup bayar kafarah?

Mengulas perkembangan itu, Musa berkata isu baiah ini tidak akan selesai dengan membayar kafarah sahaja.

“Baiah itu adalah sumpah. Maksudnya kalau wakil rakyat itu keluar daripada PAS, dia sudah melanggar sumpah dan dia perlu bayar kafarah.

“Tapi dalam masa yang sama dia juga telah melanggar taklik dan taklik ini berkait dengan isteri.

Dia (wakil rakyat yang berbaiah) kena selesaikan dua perkara, satu baiah di mana bila ia dilanggar mereka perlu bayar kafarah.

“Kedua taklik dan jika dilanggar ia akan memberi kesan kepada syarat yang dinyatakan di dalam sumpah tersebut,” jelasnya.

Justeru, kata Musa, mahkamah syariah bertanggungjawab memutuskan perkara itu.

“Mungkin ada yang berbaiah tidak dikaitkan dengan talak dan membuat baiah sahaja.

“Mungkin ada wakil rakyat tidak masukkan elemen kedua itu dan hanya berbaiah dengan parti PAS sahaja,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS