BERITA

Pakatan baru dibentuk tanpa PAS

Alyaa Azhar & Yap Jia Hee

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Sep 2015, 9:08 pagi

Gabungan baru pembangkang membabitkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dibentuk secara rasmi hari ini dengan nama Pakatan Harapan.

Dalam kenyataan dibuat di Kuala Lumpur hari ini, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ketiga-tiga parti yang menyertai persidangan meja bulat mencapai persetujuan berkenaan.

Pada masa sama, kata Dr Wan Azizah, gabungan itu tetap terbuka untuk menerima parti lain yang boleh memberikan kerjasama.

"Sebuah jawatankuasa diwakili setiausaha agung setiap parti akan ditubuhkan bagi memperhalusi terma penubuhan Pakatan Harapan, termasuk dasar bersama dan etika kerja," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar turut hadir. Bagaimanapun beliau yang juga bekas Naib Presiden PAS datang hanya sebagai "wakil ahli parlimen pembangkang".

"Saya datang kerana saya dijemput dan saya tahu PAS tidak ada wakil datang," katanya.

Menurut Mahfuz, dia tidak beranggapan kehadirannya akan membawa masalah kerana mendapat jemputan penganjur secara langsung - dan bukan melalui PAS.

Kata Mahfuz, beliau berharap gabungan baru parti pembangkang itu terus bekerjasama dan bersikap terbuka kepada PAS untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum nanti.

Jangan jadi Menaruh Harapan

Kata beliau, walaupun Pakatan Harapan ditubuhkan hari ini tanpa PAS, pemimpin gabungan pembangkang itu tidak boleh membiarkan kemelut yang melanda berlarutan.

Maknanya, kata bekas Ketua Penerangan PAS itu, perlu ada sifat terbuka menjalin hubungan dengan partu berkenaan dan beliau yakin parti itu bersedia berbincang mencari jalan melawan BN.

Mahfuz adalah salah seorang tokoh yang disingkirkan bersama pimpinan progresif parti oleh perwakilan muktamar PAS di Kuala Selangor pada Jun lalu.

Satu-satunya tokoh progresif yang 'terselamat' dalam pemilihan berkenaan ialah Mazlan Aliman. Beliau akhirnya meletak jawatan akibat kecewa dengan sikap perwakilan membuat pilihan.

Walaupun Mahfuz kelihatan lantang kepada PAS beliau tidak menyertai Gerakan Harapan Baru atau menjadi ahli AMANAH setakat ini.

Kata Yang Dipertua PAS Pokok Sena itu, Pakatan Harapan dan parti pembangkang lain mesti bersatu untuk menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa mereka berkemampuan menghadapi BN.

"Kalau tidak, Pakatan Harapan akan jadi macam lagu Zaiton Sameon, Menaruh Harapan," katanya.

Naib Presiden PKR Tian Chua memberitahu PAS menghantar surat makluman untuk menyatakan parti itu tidak menghadiri sesi hari ini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.