mk-logo
Berita
Mahkamah tolak rayuan Khir, kekal sabitan rasuah

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan rasuah bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo.

"Kami menolak rayuan," kata Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Makinudin selepas Hakim Jeffrey Tan Kok Wha membaca penghakiman.

Hakim Zulkefli mengetuai panel lima anggota hakim.

Mereka termasuk Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Ma'arop, Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali.

Sebelum ini, Khir didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Beliau mempunyai rumah agam gaya Bali di Seksyen 7 Shah Alam yang dirampas oleh pihak berkuasa apabila Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah kerana rasuah.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu.

Mohamad Khir diwakili oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, M Athimulan, Kamarul Hisham Kamaruddin, Jahabardeen Yunus, Sarah Abishegam.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud dan Mohd Dusuki Ahmad

Mahkamah Persekutuan memberi tempoh 30 minit untuk pihak pembelaan menyediakan mitigasi. [Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan mengikut keputusan yang dibacakan oleh Hakim Tan, mahkamah memutuskan bahawa pertuduhan terhadap Dr Mohamad Khir tidak mempunyai kecacatan.

Beliau berkata tiada kesilapan dalam fakta-fakta pertuduhan yang menyatakan bahawa Dr Mohamad Khir melakukan kesalahan itu atas sifatnya sebagai penjawat awam (Menteri Besar).

Dr Mohamad Khir, 50, yang memakai sut berwarna kelabu, kelihatan tenang apabila mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara setahun.

Mahkamah Persekutuan bersidang hari ini untuk membuat keputusan selepas menangguhkan prosiding pada 27 Ogos lepas kerana Dr Mohamad Khir menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Dr Mohamad Khir bersalah kerana mendapatkan untuk dirinya dan isterinya, Zahrah Kechik, 50, dua lot tanah dan sebuah banglo di seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Dr Mohamad Khir gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 30 Mei, 2013.

Bekas anggota dewan undangan negeri Sungai Panjang itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei, 2007.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS