Isu duta China: Reezal bidas tindakan 'lemah', 'cetek', 'cuai'

   

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini membidas pihak yang menuduh beliau melanggar protokol berhubung tindakan memanggil Duta China ke Malaysia ke Wisma Putra.

"Memanggil Duta Besar China untuk memberi penjelasan kepada Wisma Putra adalah amalan biasa.

"Yang luar biasa dan dianggap tidak ‘berprotokol’ adalah apabila anggota pentadbiran kerajaan sendiri yang 'melompat' dan mula membuat tuduhan longgar terhadap tindakan yang diambil oleh Wisma Putra.

"Tindakan meremehkan keputusan kolektif yang dibuat di Wisma Putra adalah satu tindakan yang lemah, cetek dan cuai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun beliau tidak menyebut nama, kenyataan beliau itu secara jelas merujuk kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semalam yang berkata Reezal telah melanggar protokol ketika memanggil Dr Huang Huikang.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

Pertamanya, harus saya tegaskan, bahawa tidak ada tindakan semberono yang diambil di dalam perkara-perkara yang melibatkan hubungan diplomasi antarabangsa.

Sebaik diberikan amanah untuk membantu Kementerian Luar Negeri, saya secara peribadi cukup berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan umum; baik di atas kapasiti diri saya secara peribadi, mahupun kedudukan saya sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri.

Dalam semua hal dan perkara, menjadi kewajiban buat diri saya, untuk merujuk kepada YB Menteri Luar Negeri dan Pengurusan Kanan Wisma Putra. Walaupun mungkin saya masih baru di dalam pentadbiran - namun disiplin pengurusan dan tatakelola kementerian sentiasa saya letakkan di kedudukan yang paling utama.

Ingin saya tegaskan bahawa keputusan untuk memanggil Duta China dibuat oleh Wisma Putra setelah mendapat persetujuan daripada YB Menteri Luar Negeri (setelah berbincang dengan YAB Perdana Menteri). Semuanya dilakukan dengan penuh disiplin pentadbiran dan sejajar dengan amalan biasa Kementerian Luar Negeri.

Justeru itu, adalah malang dan tidak benar sama sekali untuk membuat andaian bahawa saya sebagai Timbalan Menteri telah membuat keputusan sendiri tanpa mengikut prosedur dan protokol Wisma Putra.

Saya amat kesal apabila ada pihak tertentu yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas sehingga merumitkan usaha Wisma Putra untuk mengendalikan isu ini secara baik, tegas dan berhemah.

Suka saya tegaskan secara jelas bahawa Wisma Putra diterajui oleh mereka yang mempunyai kemampuan untuk menilai keperluan sesuatu tindakan diambil - selari dengan kepentingan dan maruah Malaysia di persada antarabangsa. Tindakan meremehkan keputusan kolektif yang dibuat di Wisma Putra adalah satu tindakan yang lemah, cetek dan cuai.

Tidak ada kepentingan peribadi apabila kita membuat sesuatu keputusan di Wisma Putra. Ianya dilakukan atas kesedaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan maruahnya tidak wajar diinjak oleh mana-mana negara asing sekalipun.

Memanggil Duta Besar China untuk memberi penjelasan kepada Wisma Putra adalah amalan biasa dan ini sudah diperjelaskan oleh YB Menteri Luar Negeri.

Yang luar biasa dan dianggap tidak ‘berprotokol’ adalah apabila anggota pentadbiran kerajaan sendiri yang 'melompat' dan mula membuat tuduhan longgar terhadap tindakan yang diambil oleh Wisma Putra.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda