Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zunar dakwa buku komik 'Sapuman' disiasat polis
Diterbitkan:  Sep 29, 2015 5:55 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Kartunis kontroversi Zunar mendakwa buku komik terbarunya "Sapuman - Man of Steal", yang mengejek Perdana Menteri Datuk Najib Razak dan derma politik RM2.6 bilion, sedang disiasat polis.

"Seorang pembantu jualan yang mengndali jualan online buku terbaru saya melalui laman web zunar.my dipanggil untuk disiasat polis di Dang Wangi, Isnin depan jam 12 tengah hari di bawah Akta Hasutan," katanya.

Dalam kenyataannya petang ini, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque mengecam siasatan itu kerana menganggap ia taktik terbaru untuk menakutkan orang ramai membaca karya beliau.

"Pembantu jualan saya tidak melakukan sebarang kesalahan dalam urusan jualan kerana buku "Sapuman - Man of Steal" tidak diharamkan secara rasmi oleh kerajaan," katanya.

Zunar berkata ia adalah kali kedua pengendali jualan online buku beliau disiasat polis.

Menurutnya, pada November tahun lalu, seorang webmaster beliau disiasat polis dan mahu Payment Gateway MolPay mendedahkan nama pelanggan online bukunya tetapi syarikat itu enggan berbuat demikian.

Zunar berkata 'Sapuman' adalah buku kartun yang ke-18 manakala sebanyak tujuh judul buku lagi diharam kerajaan dan dirampas polis.

Dua daripadanya telah ditarik balik pada tahun lalu oleh Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa kartun tidak mengganggu ketenteraman awam.

Kerajaan pula memperoleh kebenaran untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei.

Selain daripada buku beliau, Zunar juga berdepan sembilan tuduhan hasutan kerana sembilan tweet berbeza mengkritik badan kehakiman berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan memenjarakan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat.

Malaysiakini telah menghubungi polis Dang Wangi dan sedang menunggu maklum balas.

Lihat Komen
ADS