BERITA Malaysiakini

Peluang pasangan nikah di Siam sahkan perkahwinan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Berita baik bagi pasangan yang berkahwin mengunakan saluran tidak sah termasuk di wilayah selatan Thailand.

Kerajaan negeri Pahang memberi tempoh tiga bulan kepada pasangan berkenaan untuk mendaftarkan perkahwinan mereka tanpa dikenakan tindakan.

Menurut Bernama yang memetik Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata tempoh 'pemutihan' itu akan bermula pada 2 Nov 2015 dan tamat pada 2 Feb tahun hadapan.

"Sepanjang tempoh itu, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan memberi peluang kepada mereka membuat pendaftaran dan hanya perlu menjelaskan bayaran dokumentasi sahaja.

"Pasangan berkenaan juga akan dibantu melalui siasatan, sama ada perkahwinan yang dibuat mengikut syariat yang telah ditetapkan atau perlu dinikahkan semula dan sebagainya," katanya pada sidang media di Kuantan, hari ini.

Wan Abdul Wahid berkata antara perkahwinan yang perlu didaftarkan adalah yang dilakukan di selatan Thailand seperti di Naratiwat, Pattani, Songkhla, Yala, Satun dan lain-lain yang tidak memohon serta gagal mendapat kebenaran berkahwin secara bertulis daripada pejabat agama Islam daerah.

Ia juga meliputi perkahwinan sindiket yang berlangsung di dalam negara seperti di Kuantan, namun pasangan berkenaan memperoleh sijil perkahwinan daripada Majlis Agama Islam wilayah Selatan Thailand.

Wan Abdul Wahid memaklumkan rekod menunjukkan terdapat peningkatan untuk kes perkahwinan di selatan Thailand iaitu seramai 210 pasangan bagi tempoh Januari hingga Oktober ini, berbanding 207 pasangan pada tahun lalu dan 175 pada 2013.

Sehubungan itu, beliau menegaskan perkahwinan di wilayah selatan Thailand tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (EUKI) Pahang 2005.

Pasangan yang terlibat boleh didakwa antaranya mengikut Seksyen 40(2) EUKI iaitu kesalahan berhubung akad nikah dan Seksyen 124 EUKI bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Sijil perkahwinan yang diperoleh daripada mana-mana wilayah Selatan Thailand tidak diiktiraf untuk kegunaan rasmi negara ini, menyebabkan timbul beberapa masalah seperti tidak mendapat sijil kelahiran anak, sekali gus menjejaskan pendaftaran persekolahan mereka.

"Mereka juga akan berdepan masalah menuntut hak jika berlaku perceraian dan jika salah seorang pasangan itu mati, maka pasangan dan anak tiada hak menuntut harta pusaka," katanya.

- Bernama