Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM: Siasatan kes SRC International selesai akhir tahun
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 5:19 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan siasatan berkaitan isu SRC International - bekas anak syarikat 1MDB - akan selesai pada hujung tahun ini, Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Pada masa yang sama, beliau - yang kembali bertugas hari ini selepas cuti sakit sejak Ogos lalu - turut memberi jaminan siasatan dana RM2.6 bilion dijalankan dengan "setelus yang mungkin dan bebas".

Bercakap kepada pemberita di ibu negara hari ini, beliau berkata suruhanjaya tersebut maklum bahawa rakyat mahu isu yang mendapat perhatian ramai disiasat dengan telus.

"Kami akan memaklumkan anda (media) perkembangan dari semasa ke semasa. Saya tahu bahawa orang ramai mahu kami (SPRM) lebih telus. Ini adalah penting kerana orang ramai mahu tahu apa yang sedang berlaku.

"Tetapi pada masa yang sama, biarkan kami menyelesaikan siasatan kes ini (SRC dan dana RM2.6 bilion), "katanya selepas menghadiri Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pula berkata SPRM yakin boleh menyelesaikan siasatan isu SRC International menjelang akhir tahun ini, sebelum dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

"Kami sedang cuba untuk menyelesaikan siasatan sebelum hujung tahun ini. Saya yakin kami boleh selesaikan sebelum akhir tahun ini. Insya-Allah," kata beliau kepada wartawan.

Mengulas berkaitan siasatan isu dana RM2.6 bilion, Mohd Shukri berkata kemungkinan mengambil masa yang lebih lama sebab perlu mendapatkan maklumat dan kerjasama pihak dari luar negara.

"Kes RM2.6 bilion akan mengambil masa yang lebih lama," katanya.

September lalu, SPRM meminta kerjasama media agar tidak membuat spekulasi berhubung siasatan mereka terhadap ahli perniagaan Jho Low dan dua bekas pegawai tertinggi SRC International Sdn Bhd berkaitan kontroversi 1MDB.

Suruhanjaya itu juga akan menyiasat Pengarah Urusan SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Nik Othman Kamil dan pengarahnya Suboh Mohd Yassin berkaitan kontroversi firma pelaburan negara itu.

Meskipun cuti sakit berakhir 16 Oktober ini, namun Abu Kassim hadir untuk bertugas lebih awal pada hari ini, kerana prihatin dengan perkembangan dengan kes yang disiasat.

"Saya telah menerangkan keadaan saya kepada pegawai-pegawai saya hari ini, dan saya juga telah mendapatkan penjelasan (awal) daripada pegawai-pegawai saya," kata beliau.

Sementara itu, ditanya sama ada SPRM akan memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Shukri berkata pihaknya akan memanggil siapa sahaja yang diperlukan untuk membantu siasatan.

Pegawai kanan SPRM itu juga menegaskan bahawa SPRM tidak akan membenarkan campur tangan mana-mana pihak dalam siasatan.

"Kami akan panggil siapa sahaja yang diperlukan oleh SPRM untuk membantu siasatan.

"Tiada siapa pun boleh campur tangan dalam siasatan kami. SPRM akan menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional," katanya.

Lihat Komen
ADS