BERITA

Zaid nasihati Saifuddin, jangan terburu-buru...

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Okt 2015, 9:31 pagi

Bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim hari ini menasihatkan ahli terbaru PKR Datuk Saifuddin Abdullah agar mempelajari selok-belok menjadi seorang pembangkang tanpa terburu-buru.

Zaid yang telah berada bersama Umno dan juga PKR menasihatkan bahawa ‘penghijrahan’ itu bukan persembahan rodeo.

"Banyak perlu dia (Saifuddin) sumbang untuk menjayakan Pakatan Harapan tetapi tidak perlu terlalu bersemangat.

"Pembangkang bukan bersifat homogeneous seperti BN, jadi orang seperti saya dan Saifuddin perlu belajar perlahan-lahan," kata Zaid ketika dihubungi Malaysiakini .

Zaid dan Saifuddin sebenarnya melalui keadaan yang hampir sama

Memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab keb atas portfolio undang-undang, Zaid dipecat daripada Umno pada 2009 selepas menghadiri majlis dan perhimpunan pembangkang. Beliau kemudiannya menyertai PKR.

Saifuddin pula, sebelum keputusan melompat parti hari ini, juga berdepan dengan tindakan disiplin Umno selepas hadir pada perbincangan meja bulat penubuhan Pakatan Harapan.

Bintang Zaid dalam PKR bagaimanapun tidak menyinar lama. Selepas bersama hampir setahun, beliau meninggalkan PKR selepas hilang kepercayaan dengan pemilihan parti yang didakwanya diselubungi penipuan.

Yakin tak kecewa

Bagaimanapun, beliau yakin Saifuddin tidak akan kecewa.

"Baik bagi beliau menyertai PKR jika masih mahu aktif dalam politik.

"Adakah Saifuddin akan kecewa? Saya tidak fikir begitu... keadaan mungkin telah berubah, katanya.

Ditanya peranan yang boleh dipikul oleh Saifuddin bersama PKT, Zaid berkata, ia bergantung kepada sejauh mana kesungguhan bekas timbalan menteri pelajaran tinggi itu.

Saifuddin hari ini menyertai PKR dengan alasan beliau bosan dengan cara kerajaan mengendalikan skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.