Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Tony Pua tawar diri rancangan temubual dengan 1MDB

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pengkritik lantang 1MDB Tony Pua menawarkan diri menjadi hos rancangan bual bicara yang disiarkan secara langsung melibatkan presiden syarikat itu Arul Kanda.

Pua membuat tawaran itu selepas wawancara Arul dengan Bernama TV semalam, yang disifatkannya sebagai kempen perhubungan awam 1MDB menggunakan “jawapan kitar semula”.

“Oleh kerana Arul dengan bangganya berkata tiada cubaan menutup isu 1MDB sama sekali, saya dengan rendah diri cadang kepada presiden 1MDB itu untuk hadir rancangan bual bicara langsung yang saya akan menjadi hos dan bertanya soalan.

“Beliau akan diberi peluang dan masa secukupnya yang beliau mahu untuk menjawab soalan-soalan ini,” kata anggota parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Pua juga berkata tidak akan berdendam jika Arul berjaya memalukannya dengan menunjukkan bukti daripada sebarang dokumen kewangan 1MDB untuk menafikan dakwaan terhadapnya.

“Persoalannya sama ada beliau ada keberanian untuk terima cabaran atau cukup sekadar berada di ruang selesa media arus perdana yang mudah,” kata Pua malam tadi.

Merujuk wawancara semalam, Pua berkata Arul tidak menjelaskan dengan sempurna apa sebenarnya “unit dana” di Bank BSI di Singapura selain berkata ia seperti 'amanah saham' bernilai US$940 juta.

“Beliau tidak jelaskan kepada unit dana yang ditebus daripada dana Kepulauan Caymans masih dalam bentuk unit dana dan bukan tunai atau aset mentah seperti harta tanah dan saham.

“Jika ia dalam bentuk unit dana, jadi ia bermaksud dana Kepulauan Caymans tidak pernah ditebus sama sekali,” katanya.

[Baca berita asal]