Shafie: Tak wajar kenakan syarat debat 1MDB Arul-Pua

       

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal membantah syarat yang dikenakan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung debat secara langsung berkaitan skandal 1MDB di antara anggota PAC Tony Pua dengan presiden firma itu, Arul Kanda Kandasamy.

Menurut bekas menteri kabinet itu, mengenakan syarat kepada debat secara langsung atau menghalangnya tidak harus dan tidak sewajarnya dilakukan.

Ini kerana, katanya, perdebatan itu penting kepada rakyat untuk mencari kebenaran mengenai isu 1MDB.

"Saya mengalu-alukan debat itu diadakan. Kita alukan perdebatan ini kerana ia mungkin boleh memberi maklumat (berkaitan 1MDB)," katanya ketika ditemui di lobi parlimen.

"Tapi nak letak syarat, saya berpandangan itu tak wajar. Tidak harus ada syarat diletakkan pada mana-mana pihak untuk kita mencari kebenaran walaupun dia mempunyai maklumat.

"Walaupun beliau (Pua) mempunyai maklumat eksklusif (berkaitan 1MDB) dalam kapasitinya sebagai anggota PAC dan kita tidak sepatutnya meletakkan syarat kepadanya," katanya.

Pandikar mengarahkan Pua sama ada meletakkan jawatan dalam PAC atau tidak terlibat dengan mana-mana siasatan atau prosiding PAC jika meneruskan hasrat untuk berdebat dengan Arul Kanda.

Pua sebelum ini mencabar untuk berdebat secara langsung berkaitan syarikat 1MDB yang sarat hutang dan Arul Kanda menyambut cabarannya.

[Baca berita asal]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda