BERITA Malaysiakini

Gambar dengan Jacel Kiram: Nurul Izzah 'kesal'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Selepas dikritik hebat, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyatakan kekesalannya berhubung kegusaran yang timbul akibat foto beliau bersama anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Tampil menjelaskan perkara itu, Nurul Izzah menegaskan, beliau tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dengan Jacel H Kiram dan tidak pernah berkenalan wanita tersebut.

"Dia merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Malis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia Untuk Demokrasi, Pejabat Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden Filipina.

"Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta," kata Naib Presiden PKR itu.

Gambar pertemuan Nurul Izzah itu tersebar selepas Jacel memuat naik empat keping gambar bertarikh 9 November dalam akaun Facebook beliau.

"Saya berasa amat kesal atas hakikat ini," kata Nurul Izzah merujuk kepada perasaan ahli keluarga bekas anggota keselamatan yang terkorban akibat pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

Pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Pertempuran tercetus pada antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan penceroboh pada 1 Mac 2013 ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo.

Insiden itu menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.

Sehari selepas itu, enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota tentera turut terbunuh semasa bertempur selain kemalangan dalam operasi di Lahad Datu.

Tetap pertahan Sabah

Nurul Izzah juga mengambil maklum terhadap kemarahan rakyat Malaysia ekoran gambar berkenaan.

"Simpati dan sokongan saya dari dulu hingga bila-bila adalah kepada para perajurit negara yang terkorban serta komuniti yang masih terkesan akibat konflik itu serta desakan puak pemisah.

"Sebagai ahli parlimen dan rakyat Malaysia yang setia kepada negara dan bangsa, saya akan sentiasa mempertahan Sabah sebagai sebahagian daripada negara Malaysia yang tercinta," jelas beliau.

Tambah Nurul Izzah, tiada apa-apa yang ingin disembunyikan beliau dan bersedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjelaskan lawatan ke program tersebut.

Pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Pertempuran tercetus pada 1 Mac 2013 antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo.