BERITA Malaysiakini

PPP PAS ramal hayat Pakatan Harapan lebih pendek

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menjangka bahawa jangka hayat Pakatan Harapan adalah lebih pendek daripada Pakatan Rakyat.

Pengarahnya Zuhdi Marzuki (foto) berkata ini berdasarkan kepada konflik yang berlaku antara parti-parti komponen Pakatan Harapan, PKR, DAP dan parti serpihan PAS - Parti Amanah Rakyat (AMANAH).

"Berdasarkan kepada konflik yang berlaku antara parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan hari ini, ditambah lagi dengan masalah dalaman di dalam parti masing-masing, dijangkakan paling lama hayat Pakatan Harapan boleh bertahan ialah sebaik sahaja selepas PRU14.

"Malah PPP tidak menolak, kemungkinan gabungan itu berakhir lebih awal dari PRU14 juga adalah tinggi, berikutan satu demi satu konflik di kalangan mereka timbul," kata Zuhdi dalam satu kenyataan.

Kenyataan Zuhdi (foto) itu muncul selepas Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membidas PKR selepas lima ADUN parti itu berkecuali daripada mengundi terhadap usul ADUN Umno menggesa ketelusan dalam projek tebus guna tanah di Pulau Pinang.

Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Azmin Ali juga memberitahu rakan AMANAH supaya berhenti mengkritik kerajaan negeri Selangor, yang masih dianggotai oleh wakil dari PAS.

PPP, tambah Zuhdi, berberpandangan bahawa Pakatan Harapan tidak akan dapat mengulangi prestasi Pakatan Rakyat dalam PRU13 kerana mendakwa mereka akan kehilangan sokongan pengundi Melayu.

Zuhdi juga menjangka Pakatan Harapan tidak akan dapat meraih sokongan pengundi India, disebabkan "tiada tokoh besar kaum India di dalam Pakatan Harpan hari ini".

Di samping itu, katanya, Pakatan Harapan juga akan menghadapi masalah dalam pembahagian isu kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Pada pilihan raya umum ke-13, Pakatan Rakyat berdepan satu lawan satu dengan BN, kecuali di dua di mana PAS dan PKR bertembung dalam pertandingan tiga penjuru.

Bercanggah mengenai TPPA

Zuhdi berkata pendirian Pakatan Harapan masih belum membuat keputusan bersama terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) walaupun hampir sebulan dokumen perjanjian itu didedahkan.

Beliau mendakwa DAP dilihat lebih cenderung untuk menyokong TPPA, PKR masih berdiam diri manakala hanya segelintir pemimpin pemuda AMANAH bercakap menentang perjanjian itu, yang akan diundi di Parlimen.

Ini, tegas Zuhdi, berbeza dengan PAS yang secara konsisten menentang perjanjian itu.

Lim sebelum ini berkata, DAP perlu mengkaji perjanjian itu, tetapi ia tidak akan menyokong TPPA di Parlimen jika ia bermakna harga ubat akan naik.

Pada satu majlis di Kuala Lumpur minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mendakwa bahawa TPPA tidak akan membahayakan akses kepada ubat-ubatan generik murah.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dari DAP dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dari PKR berhujah bahawa peruntukan-peruntukan bagi

hak harta intelek untuk pembuat ubat mungkin bermakna ubat-ubatan yang lebih mahal.

Menurut draf teks TPPA yang bocor sebelum ini, perunding AS mahukan tempoh eksklusif data selama 12 tahun untuk kelas baru biologik, yang selaras dengan undang-undang semasa di Amerika Syarikat.

Teks akhir menetapkan sekurang-kurangnya tempoh perlindungan selama lapan tahun, atau alternatifnya, perlindungan lima tahun ditambah dengan langkah-langkah lain yang akan memberikan hasil yang sama. Kerajaan Malaysia telah membayangkan yang ia akan memilih pilihan kedua.

[Baca berita penuh]