Wanita yang diserang di rumahnya di Wellington oleh bekas atase tentera Suruhanjaya Tinggi Malaysia "benar-benar gembira" apabila tertuduh mengaku bersalah pagi ini - pada hari dia dijadual dibicarakan.
Muhammad Rizalman Ismail, 39, yang dijadual menjalani perbicaraan juri selama tiga minggu mulai hari ini, didakwa melakukan serangan sumbang, serangan dengan niat untuk melakukan pencabulan seksual dan pecah rumah, pada 9 Mei 2014.
Pada pagi Isnin, dia mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di Wellington terhadap tuduhan melakukan serangan sumbang dan dua tuduhan lagi digugurkan.
Peguam Rizalman, Donald Stevens QC, memberitahu Hakim David Collins bahawa anak guamnya akan menukar pengakuan tidak bersalah terhadap tuduhan serangan sumbang.
Seorang penyokong utama Tania Billingsley, berkata mangsa teruja dengan pengakuan bersalah tertuduh itu.
Beliau juga "amat merasa lega" kerana Tania tidak perlu melalui perbicaraan.
Penyokong itu berkata Tania membenarkannya memberi komen kepada media bagi pihaknya dan Tania tidak mahu mengulas sendiri secara terbuka ketika hujah perundangan mengenai kes itu masih berjalan.
Katanya, Tania juga tidak akan menghadiri perbicaraan di mahkamah "sehinggalah dia dikehendaki hadir [di mahkamah]".
Fakta kes
Rizalman telah ditangkap pada 10 Mei 2014 berikutan serangan itu di rumah Billingsley di pinggir bandar Wellington di Brooklyn.
Stevens memohon hakim supaya tidak memasukkan sabitan, dengan berkata beliau akan memohon pelepasan tanpa disabitkan atas pertuduhan.
Perbicaraan itu dijangka mendengar keterangan Tania, para saksi dan doktor mengenai pelakuan Rizalman pada malam itu.
Satu kenyataan fakta dibacakan kepada mahkamah, dan kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu kepada Rizalman.
Ia berkata Tania berada di rumah sendirian menonton sebuah filem di bilik tidurnya. Rizalman menanggalkan seluar dan seluar dalamnya sebelum masuk ke dalam rumah melalui pintu depan yang tertutup tetapi tidak berkunci.
Di dapur dia kemudian menanggalkan jaket sebelum mengetuk pintu bilik tidur Tania yang separuh terbuka dan menolaknya terbuka.
Dia bertanya sama ada dia boleh masuk.
Tania menoleh dan melihat dia hanya memakai baju dan telanjang dari pinggang ke bawah. Tania menjerit kepadanya supaya pergi dari situ.
Rizalman meletakkan tangannya di atas bahu Tania tetapi Tania berjaya menolaknya ke dalam ruang tamu, dan kemudian menolaknya keluar dari flat sebelum menguncinya.
Niat seksual
Dia kemudian mengunci dirinya di bilik mandi dan menghubungi polis. Teman lelaki jiran di flat itu balik dan mencabar Rizalman, yang masih berada di luar pintu depan.
Rizalman mula beredar dari situ tetapi dihalang di jalan oleh polis.
Dia memberitahu polis bahawa mereka di pawagam pada awal hari ini dan Tania telah menjemputnya balik ke rumahnya, tetapi Tania marah kepadanya kerana memakan makanannya.
Selepas pengkapannya, Rizalman menjadi sasaran kemarahan politik dengan meninggalkan New Zealand di bawah kekebalan diplomatik.
Dia meninggalkan New Zealand tanpa menghadapi perbicaraan selepas Malaysia menggunakan kekebalan diplomatik - dengan kepercayaan bahawa ia berbuat demikian dengan restu Kerajaan New Zealand.
Dia kembali ke New Zealand dengan diiringi oleh polis selepas pendengaran ekstradisi difailkan di Malaysia.
Stevens memberitahu hakim bahawa beberapa fakta kes itu masih dipertikaikan oleh Rizalman. Kes itu akan didengar sekali lagi pada hari Jumaat.
Beliau berkata terdapat isu berhubung mengapa Rizalman masuk ke dalam rumah, sama ada terdapat sebarang niat seksual dan berkaitan kesihatan mentalnya.