Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa hari ini menyerahkan 'nota cinta' sewaktu mengadap Jawatankuasa Dewan Harian PAS Pusat petang ini.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu sekitar jam 3.30 petang, Husam berkata nota tersebut diserahkan antara lain berkaitan langkah untuk mempertahankan kerajaan Kelantan dan parti dengan lebih baik.

"Saya telah sampaikan sedikit ‘nota cinta’ kepada PAS Pusat (antara yang terkandung) macam mana kerajaan Kelantan boleh 'survive' (dengan meneruskan urus tadbir), parti, bagaimana perpaduan ahli boleh digembleng semula," katanya ringkas sebelum meninggalkan bangunan ibu pejabat PAS.

Husam yang juga bekas exco kanan Kelantan bagaimanapun enggan mengulas bagi menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut tetapi berpuas hati dengan hasil pertemuan hari ini.

"PAS terima nota itu. Saya secara keluruhan berpuas hati, dan berterima kasih kepada PAS pusat kerana menyediakan saluran ini untuk menyampaikan apa-apa pandangan sendiri.

"Alhamdulillah, mereka boleh mendengar, dan mungkin akan ada perjumpaan susulan lepas ini," katanya.

Husam yang juga ADUN Salor hadir ke ibu pejabat PAS untuk mengadap Dewan Harian PAS Pusat bagi memberi penjelasan berhubung teguran beliau terhadap kerajaan Kelantan.

Sebelum itu 100 penyokong dari Kubang Kerian dan kawasan DUN Salor hadir memberi sokongan kepadanya.

Sebelum ini Husam juga menyerang Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwanya cuba menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor tahun lalu tetapi kemudiannya dinafikan oleh Hadi.

Husam turut membangkitkan pelbagai isu berkaitan pentadbiran kerajaan negeri seperti isu balak, selain mengkritik kenaikan gaji wakil rakyat negeri ketika rakyat berdepan kos sara hidup tinggi.

Lihat Komen
ADS