Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP nafi letupan bom punca 6 kereta terbakar
Diterbitkan:  Dec 21, 2015 4:00 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan bahawa kejadian sebuah kereta terbakar di tempat letak kereta di stesen LRT Taman Jaya, Petaling Jaya, petang tadi bukannya kes letupan bom.

Beliau mengulas khabar angin itu yang tersebar di media sosial dan kumpulan Whatsapp.

"Ada orang yang bakar kereta di tempat letak kenderaan di LRT Taman Jaya, PJ. Tidak ada letupan bom. @PDRMsia sedang menyiasat," katanya dalam tweet.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan kebakaran itu memusnahkan dua kereta manakala empat yang lain hampir musnah.

"Enam anggota dihantar ke tempat kejadian dan api berjaya dipadamkan dalam kira-kira 30 minit pada 1:32 petang.

"Kebakaran melibatkan enam buah kereta yang diletakan di parkir, Toyota Vios dan Proton Wira musnah 100 peratus; Suzuki Swift musnah 80 peratus; Proton BLM musnah 70 peratus; Proton Gen2 musnah 20 peratus dan Honda musnah 20 peratus," kenyataan itu dipetik.

Sementara itu, Prasarana Bhd berkata kejadian itu tidak menjejaskan perkhidmatan LRT. [Baca berita penuh]

Sementara itu, portal Berita Harian Online memetik Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata polis sedang mengesan seorang lelaki menaiki motosikal yang dipercayai mencetuskan kebakaran itu.

Beliau berkata pihaknya kini sudah mengenal pasti identiti suspek terbabit berdasarkan maklumat daripada pengadu dan saksi kejadian.

"Suspek terbabit didapati mencurah petrol ke arah sebuah kereta sebelum menyalakan api dengan tujuan ingin membakar kereta berkenaan.

"Setakat ini motif sebenar suspek sedang disiasat dan kita masih mengumpul segala maklumat yang ada," katanya yang dipetik portal itu.

Beliau juga memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak menyebarkan sebarang khabar angin kononnya berlaku letupan bom hingga menyebabkan kebakaran terjadi.

Katanya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu boleh mencetuskan kebimbangan kepada orang ramai dan ia juga adalah satu kesalahan.

Lihat Komen
ADS