Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS tidak gentar menghadapi Parti Amanah Negara (AMANAH) berikutan pengalaman dan sejarah panjang yang dihadapi oleh parti berkenaan.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS pernah menghadapi pelbagai parti sebelum ini, termasuk Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (BERJASA) bagaimanapun PAS tidak pernah jatuh, malah terus bangkit.

“PAS parti paling berpengalaman sebelum merdeka dan sejak merdeka. (Menghadapi parti lain) itu adalah perkara biasa.

“Pakatan bukan baru, Pakatan Harapan dan pelbagai pakatan sejak tahun 1960-an ada yang rebah. Ada yang rebah tak bangun-bangun, (tetapi) kita terus bangkit,” katanya di sidang media selepas melancarkan Ijtima’ Pilihan Raya Selangor di Kuala Selangor hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian ketika mengulas kerjasama yang dijalinkan AMANAH dengan PKR dan DAP ketika ini.

Semalam, AMANAH yang merupakan parti serpihan PAS, bersama PKR dan DAP memeterai perjanjian kerjasama Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang dijangka bakal diadakan pada 2017.

Sebelum ini PAS dan DAP telah berpatah arang berkerat rotan sehingga kerjasama Pakatan Rakyat tumbang dan masing-masing menjalani kerjasama berasingan dengan PKR.

Lihat Komen
ADS