Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mungkin akan lupus jika Donald Trump terpilih sebagai Presiden AS.

Kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, jangkaan demikian dibuat berdasarkan kedudukan Kongres yang terletak di bawah presiden negara berkenaan.

Jika Trump menjadi presiden, katanya, TPPA mungkin dibatalkan kerana tokoh perniagaan itu memang menolak perjanjian berkenaan.

Pada masa sama, kata Mustapa, penyertaan AS dalam TPPA adalah sangat penting.

"Kita tidak mahu membuat ramalan tetapi sekiranya ini (Trump memenangi pilihan raya presiden) berlaku maknanya akan terkuburlah TPPA.

"TPPA tanpa penyertaan AS akan menjadi kurang bermakna dan (kurang) berkesan," katanya dalam penggulungan perbahasan kementerian di Dewan Rakyat hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani 12 negara - termasuk Malaysia di Auckland, New Zealand pada 4 Februari lalu dengan matlamat ia dapat meluaskan pasaran, mengurangkan tarif dan mempromosi perdagangan lebih bebas.

Mustapa ( gambar ) mewakli Malaysia menurunkan tandatangan untuk perjanjian berkenaan yang tercapai hasil proses yang sukar dan mengambil masa lima tahun serta 19 pusingan rundingan.

Ketika ditanya Tian Chua (PKR-Batu) sama ada Malaysia akan menerima sebarang pindaan dalam TPPA jika dicadangkan Kongres AS, Mustapa berkata kerajaan tidak akan menerimanya.

Trump ketika ini giat berkempen mendapatkan sokongan pengundi bagi membolehkan dia dicalonkan parti Republikan menentang calon Demokrat.

Pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 8 November ini. Trump dilihat sebagai calon popular untuk memenanginya.

[Baca berita asal]

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini