Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suku Orang Asli Semelai gagal peroleh kebenaran merayu

Suku Orang Asli Semelai dari Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam, Pahang, gagal untuk memperoleh kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memperluaskan tanah hak adat Orang Asli ke kawasan yang mereka gunakan untuk berburu dan mencari makanan.

Panel tiga anggota Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menolak permohonan bagi kebenaran merayu terhadap keputusan itu.

Beliau berkata pemohon gagal memenuhi keperluan minimum Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Bersidang bersama beliau ialah dua hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Pada 13 Oktober tahun lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang sebahagiannya memihak kepada Tok Batin Bukit Rok, Mohamad Nohing dan lima individu lain yang merupakan penduduk di kawasan penempatan Kampong Bukit Rok serta Kampung Ibam di Mukim Bera, Pahang.

Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya sebahagian daripada tanah rizab Melayu yang termasuk ke dalam tanah hak adat mereka di Bera, Pahang, dikeluarkan daripada rizab.

Panel tiga anggota hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan bahawa tanah rizab Melayu itu tidak diberi keutamaan daripada tanah hak adat dan tidak menghapuskan hak penduduk Orang Asli itu kepada tanah hak adat.

Bagaimanapun, sebahagian keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dikemukakan Pengarah Tanah dan Galian Pahang, kerajaan negeri, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli dan kerajaan Malaysia selain memutuskan bahawa tanah hak adat masyarakat Orang Asli itu hanya terhad kepada kawasan penempatan dan tidak diperluaskan ke kawasan yang digunakan mereka untuk berburu, berjalan-jalan dan mencari makanan.

Pihak responden (Pengarah Tanah dan Galian Pahang, kerajaan negeri, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli dan kerajaan Malaysia) tidak memfailkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung perintah supaya sebahagian tanah rizab Melayu dikeluarkan daripada rizab.

Pada 20 Dis 2000, kerajaan negeri Pahang meluluskan tanah seluas 202.3 hektar di Padang Kepayang, Kampung Batu Papan dalam Mukim Bera bagi penanaman pokok kelapa sawit yang akan dilaksanakan oleh FELCRA.

Pada 12 Mac 2007, sebahagian daripada penduduk yang menduduki kawasan Padang Kepayang menerima notis pengusiran yang meminta mereka keluar dari kawasan itu, menyebabkan Mohamad Nohing, Batin Kampung Ibam Raman Mat, dan lima penduduk iaitu Rohani Nehir, Romani Mohamad, Zainuddin Yong serta Jariman Jali, memfail semakan kehakiman.

Mereka memfail semakan kehakiman itu bagi pihak 209 penduduk dua kampung Orang Asli berkenaan.

Mahkamah Tinggi Temerloh pada 19 Disember 2012 membuat keputusan yang memihak kepada masyarakat Orang Asli.

Pemohon diwakili peguam Lim Heng Seng, S. Yogeswaran dan Tan Hooi Ping manakala peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambali mewakili pengarah Tanah dan Galian Pahang dan kerajaan negeri manakala peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli dan kerajaan Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS