Arul: Gagal bayar IPIC boleh jejaskan hutang lain 1MDB

   

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengesahkan bahawa kegagalan firma itu untuk membayar pinjaman AS$1 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi boleh mencetuskan kemungkiran bayaran kepada hutang-hutang lain, termasuk beberapa bon.

Dalam temu bual di halaman utama majalah kewangan The Edge Weekly , Arul Kanda berkata hutang berkenaan termasuk bon AS$3 bilion yang diterbitkan pada 2013 untuk membiayai pembangunan Tun Razak Exchange.

Walaupun 1MDB mengisytiharkan bahawa firma itu bebas daripada semua hutang jangka pendek dan bank, namun ia masih mempunyai sukuk RM5 bilion dengan jaminan kerajaan; sukuk Bandar Malaysia RM2.4 bilion; dan pinjaman RM800 juta daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial atau Perkeso.

Lebih penting lagi, persoalan yang lebih besar adalah apa yang bakal berlaku seterusnya dengan pengisytiharan IPIC bahawa 1MDB telah ingkar membuat bayarannya.

Menurut Arul Kanda, perjanjian 1MDB yang dimeterai dengan IPIC pada bulan Jun 2015 menyaksikan firma pelaburan negara itu mendapat AS$1 bilion yang diperlukan untuk menyelesaikan beberapa kewajipan segera, termasuk membayar pinjaman bersindiket AS$975 juta yang diterajui oleh Deutsche Bank .

Menurut perjanjian itu, 1MDB perlu memindahkan jumlah yang dibayar IPIC berserta faedah yang berjumlah AS$1.15 bilion pada 31 Disember tahun lalu.

"Sebenarnya, kami telah ingkar sejak Disember," akui Arul Kanda dalam laporan itu apabila disoal mengapa IPIC menunggu sehingga sekarang untuk membuat pengumuman.

"Ia patut diumumkan segera selepas kami tidak bayar kerana ia adalah jumlah yang besar. Mengapa tunggu sehingga April untuk berkata kamu tidak memiliki Aabar BVI?" soalnya.

Berhubung soalan mengenai bayaran AS$3.5 bilion yang dibuat oleh 1MDB kepada Aabar BVI (Aabar Investments PJS Ltd), syarikat yang namanya hampir sama dengan nama anak syarikat IPIC, iaitu Aabar Investments PJS, Arul Kanda dilaporkan berkata: "Kita tidak tolak bahawa sebenarnya berlaku penipuan... penipuan besar-besaran... dan mungkin ada kerjasama dari pihak kami."

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda