Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah putuskan kenyataan 'celaka' Rayer bukan hasutan

Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini membebaskan ADUN Seri Delima RSN Rayer dari satu daripada dua tuduhan hasutan yang difailkan terhadapnya.

Hakim Roslan Hamid memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kenyataan 'celaka' oleh Rayer yang dibuatnya semasa ceramah mempunyai kecenderungan menghasut.

Rayer menghadapi dua pertuduhan menghasut mengikut Seksyen 4 (1) b Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan perkataan 'celaka' terhadap Umno semasa ceramah bagi kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor pada Mei 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Rayer didakwa mengeluarkan perkataan yang sama terhadap Umno di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Mei 2014.

Perbicaraan masih diteruskan di bawah hakim Ibrahim Osman di Mahkamah Sesyen yang lain.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam Rayer, Gobind Singh Deo menyambut baik keputusan mahkamah untuk membebaskan anak guamnya daripada pertuduhan itu.

"Seperti yang kita katakan sebelum ini, tidak ada kesalahan dalam kes ini," katanya yang juga adalah Ahli Parlimen Puchong.

"Hari ini, kita menyaksikan bagaimana mahkamah membuat keputusan yang sama yang membuktikan apa yang kita perkatakan selama ini.

"Sekarang, kami gesa Peguam Negara untuk meneliti penghakiman mahkamah dan tidak membuat rayuan terhadap keputusan itu," katanya.

"Kami harap AG akan menerima keputusan ini."

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS