Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jabatan Peguam Negara nafi tutup kes SD penjual banglo
Diterbitkan:  May 4, 2016 5:30 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Jabatan Peguam Negara menafikan dakwaan bahawa ia telah membuat keputusan berhubung dengan kes ahli perniagaan Phang Li Koon yang menjual banglo miliknya di Jalan Pinhorn, Jelutong kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

"Jabatan Peguam Negara ingin menegaskan bahawa sehingga kini Peguam Negara belum membuat sebarang keputusan berkaitan kes berkenaan dan ia masih dalam proses kajian dan tindakan Peguam Negara," kata Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan hari ini.

Ini di sebalik kenyataan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab yang dipetik pelbagai media bahawa Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk menutup kes berkenaan.

Abdul Ghafar dilaporkan berkata, kes berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan telah ditutup setelah keputusan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara beberapa hari lalu.

Menurutnya, pihak polis negeri Pulau Pinang sudah melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan dan menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya tetapi dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menutup kes ini.

Phang sebelum ini dituduh membuat akuan bersumpah (SD) palsu apabila beliau mendakwa tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Phang berikutan akuan bersumpah beliau yang dipertikai kerana tidak dibacakan beliau sendiri tetapi oleh exco Pulau Pinang Phee Boon Poh.

Phee, ADUN Sungai Puyu, adalah sepupu jauh Phang.

Phang didakwa menjual banglo kepada Lim pada harga RM2.5 juta, sedangkan nilai hartanah semasa dianggarkan mencecah RM5 juta.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP menafikan sebarang salah laku dan berkata rumah itu dibeli pada asas persetujuan penjual dan pembeli yang sanggup.

Lihat Komen
ADS