Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga jenazah nahas helikopter dikebumikan hari ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian ke rahmatullah Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebagai kehilangan seorang rakan seperjuangan yang banyak menyumbang kepada kerajaan, rakyat dan UMNO.

"Pengesahan yang saya terima semalam ialah pemergian Allahyarham Dato’ Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad akibat nahas helikopter AS 350.

"Saya telah kehilangan seorang rakan seperjuangan dalam UMNO yang telah banyak menyumbang kepada kerajaan, rakyat dan parti kita UMNO," katanya dalam catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau berada bersama keluarga Allahyarham semalam di Hospital Umum Sarawak dan telah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga.

"Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman. Al-Fatihah," katanya, lapor Bernama.

Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar merupakan anggota Parlimen Kuala Kangsar dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia. Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumi di Makam Diraja Kuala Kangsar, Bukit Chandan, hari ini.

Sementara Jenazah Asmuni Abdullah, 52, suami Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon selamat dikebumikan pada kira-kira 10 pagi ini.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Ar-Rahmah, Batu 12, Sungai Burong pada pukul kira-kira 9 pagi dan dikebumikan berdekatan pusara Noriah, yang turut terkorban dalam nahas itu, di Tanah Perkuburan Islam Batu 12.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba pada 7.41 pagi di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang dengan pesawat Charlie C130H melalui penerbangan ihsan dari Pangkalan Udara Kuching, yang berlepas kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Upacara pengebumian itu dihadiri hampir seratus kariah kawasan tersebut termasuk anggota keluarga terdekat serta rakan taulan.

Di Kuala Terengganu, Mohd Shafie, 28, iaitu abang kepada Allahyarham Ahmad Sobri Harun yang terkorban dalam nahas berkenaan mengucapkan terima kasih atas keperihatinan kerajaan termasuk kerajaan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memudahkan urusan pengkebumian adiknya.

"Saya juga memohon maaf bagi pihak adik saya sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang dilakukannya selama ini," katanya selepas selesai majlis pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Tok Mek Ngah pagi ini.

Jenazah Ahmad Sobri, 26, selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dengan pesawat Charlie C130 pada pukul 6.20 pagi dan dikebumikan pada 8.20 pagi tadi.

Setakat ini, lima mayat telah dijumpai termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan usaha giat dilakukan untuk mencari juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.

Lihat Komen
ADS