BERITA Malaysiakini

MB diarah pastikan isu di Bukit Cerakah tidak berulang

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Arahan akan dikeluarkan kepada semua menteri besar dan ketua menteri supaya memastikan isu pencerobohan alam sekitar seperti di Taman Pertanian Bukit Cahaya, Selangor tidak berulang di negeri masing-masing, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan-kerajaan negeri akan diberi penerangan yang jelas, khususnya kepada menteri besar supaya mereka memastikan perkara seperti itu tidak berulang.

"Perdana Menteri sedang mengkaji laporan yang telah dikemukakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berdasarkan kes Bukit Cahaya ini.

"Berdasarkan laporan itu, kerajaan akan tentukan beberapa langkah yang perlu diambil terutamanya bagi memastikan perkara ini tidak akan berulang lagi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai LIMA 2005, di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan Bernama, Najib berkata, dalam mesyuarat Kabinet semalam, kerajaan memutuskan supaya sesuatu kawasan yang mahu dibangunkan perlu mempunyai "zon penimbal" bagi mengelakkan pencemaran kawasan berhampiran.

"Antara kawasan Bukit Cahaya dan Taman Pertanian itu sepatutnya ada zon penimbal. Kalau zon ini, ia tidak akan membawa kepada pencemaran pada kawasan yang lain," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga diminta agar memikirkan secara mendalam sebelum memansuhkan status sesuatu kawasan hutan simpan itu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kerajaan Selangor mengambil balik sebidang tanah lapang yang tidak dimajukan berhampiran Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam bagi dijadikan kawasan riadah untuk orang ramai.

Kawasan riadah

Katanya, beliau telah meninjau sekitar kawasan taman itu dengan menaiki helikopter pagi tadi dan mendapati ada satu kawasan seluas 100 hektar berhampiran taman itu yang telah lama dibersihkan tetapi terbiar begitu sahaja.

"Kawasan ini dilihat telah dicerahkan lama...pokok dah ditebang, rumput dah tak ada tapi tiada usaha untuk bangunkan kawasan itu.

"Kalau tak mau dibangunkan, berikan balik kepada kerajaan dan kerajaan akan bayar balik wang yang digunakan dulu untuk mengambil tanah itu dulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Lanskap Negara 2005 di Taman Bunga Raya, Taman Tasik Perdana di sini.

Perdana Menteri berkata menerusi pemandangan udara, beliau dapat menggambarkan kesan ekologi yang bakal dihadapi oleh taman itu akibat daripada projek pembangunan di luar kawasannya terutama apabila hujan lebat.

"Kita lihat di kawasan perumahan semua pokok ditebang dan kawasan itu tak ada pokok...rumput pun tak ada dan apabila hujan, air yang mengalir akan rosakkan kawasan taman itu," katanya.

Abdullah juga mahu supaya Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo bertindak cepat menangani masalah itu dan mengambil tindakan mahkamah terhadap dua pemaju yang didakwa melanggar peraturan serta menyegerakan siasatan terhadap 12 pemaju yang lain.

Ditanya mengenai keputusan kabinet semalam supaya kerajaan pusat mengambil alih sepenuhnya Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam seluas 886 hektar itu, beliau berkata ia merupakan tanggungjawab kerajaan bagi memastikan ianya sentiasa terpelihara.

Sementara itu di Petaling Jaya, Dr Mohd Khir berkata beliau akan menjawab esok soal tuntutan pampasan RM4.2 juta oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani daripada kerajaan negeri berhubung kerosakan kepada Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kunci apartmen kos rendah Impian Baiduri hari ini.

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kementerian itu akan menuntut RM4.2 juta daripada kerajaan negeri sebagai pampasan akibat kerosakan di sekitar taman pertanian itu kesan daripada aktiviti pembangunan tidak terancang di sekelilingnya.