Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mari bertumbuk di Sungai Besar dan Kuala Kangsar'

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berkata pembangkang tidak akan menabur fitnah pada kempen pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, apatah lagi berlagak seperti samseng'.

"Saya juga nak ingatkan kita turun ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar bukan dengan fitnah, bukan dengan tohmahan atau serangan peribadi serta bukan nak tumbuk orang itu dan orang ini.

"Sekarang menteri kabinet pun dah jadi gangster nak tumbuk orang itu, nak tumbuk orang ini. Mari bertumbuk dengan rakyat di Sungai Besar dan Kuala Kangsar," kata Azmin ketika berucap di hadapan kira-kira 300 hadirin pada Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi.

Meskipun tidak menyebut nama menteri berkenaan namun ucapan tersebut cukup jelas ditujukan kepada siapa.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz semalam sekali lagi berkata beliau tiada masalah 'bertumbuk' dengan pengkritik perdana menteri seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Kalau menteri boleh bersifat gengster apakah kita boleh meletakkan harapan kepada Malaysia dan barisan Kabinet yang ada sekarang?

"Sebab itu kita turun ke Sungai Besar dengan rekod dan fakta kejayaan. Kita telah lakukan reformasi di Selangor, Pulau Pinang dan rakyat telah bangkit, kita ada cerita kejayaan," jelas anggota parlimen Gombak itu lagi.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata beliau yakin keputusan serta perubahan yang akan dipamerkan rakyat di dua PRK ini adalah bukti jelas bahawa Najib perlu berundur.

"Inilah masa dan ketika rakyat di kedua-dua kawasan ini diberi peluang sekali lagi menyaksikan perubahan yang besar dan saya yakin kemenangan rakyat di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah mesej yang cukup jelas Najib mesti berundur," katanya.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon dari BN yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh 18 Jun depan bagi tarikh pembuangan undi serentak bagi Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Lihat Komen
ADS