BERITA Malaysiakini

Mungkin ‘kita’ patut letak jawatan juga, kata Ambiga terhadap tweet PM

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Datuk Ambiga Sreenevasan tidak dapat membuat keputusan itu sama ada untuk ketawa atau menitikkan air mata apabila melihat kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menggambarkan dirinya sebagai seorang demokrat.

"Adakah PM kata 'kita' demokrat?

"Saya tidak tahu sama ada untuk ketawa atau menangis," menurut tweet bekas presiden Majlis Peguam itu.

Beliau berkata demikian berhubung komen Najib mengenai pungutan suara Brexit yang menyaksikan rakyat Britain mengundi supaya negara mereka meninggalkan Kesatuan Eropah.

"Mungkin 'kita' perlu letak jawatan juga," katanya, merujuk bahawa Najib mungkin perlu mengikut jejak langkah David Cameron, yang mengumumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatan perdana menteri pada Oktober nanti.

Dalam tweetnya mengenai pungutan suara itu, Najib berkata pengundi Britain telah bersuara.

Sebagai demokrat, kita mesti hormat keputusan itu.

“Kita harap yang terbaik buat rakan-rakan British kita untuk masa depan yang mereka pilih,” katanya.

Ambiga adalah antara mereka yang menandatangani Deklarasi Rakyat yang menggesa Najib supaya berundur.

Sementara itu, peguam Syahredzan Johan yang juga merujuk tweet perdana menteri, berkata: "Demokrat tidak tangkap penentang.”

"Secara serius, saya hormati Cameron yang mahu letak jawatan selepas referendum. Saya tidak sukanya, tetapi tindakannya mulia

"Dia tewas dalam referendum bukan kerana terbabit dalam skandal. Namun dia cukup mulia untuk meletak jawatan," katanya di laman sosial.

Terdahulu, Cameron mendedahkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan pada Oktober.

“Saya tidak fikir saya sesuai menjadi kapten untuk memimpin negara ini ke destinasi seterusnya,” katanya kepada pemberita di pejabatnya Downing Street, hari ini.

Di Malaysia, Najib juga berdepan gesaan supaya berundur berikutan pelbagai dakwaan.

Walau bagaimanapun, perdana menteri menafikan menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi, dan menyalahkan tuduhan itu dibuat oleh mereka yang berkomplot untuk menjatuhkannya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali juga telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Sabtu lalu yang menyaksikan BN menang dengan majoriti besar juga mengukuhkan kedudukan perdana menteri.