Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noh tegur Mat Sabu, 'buka mata, cakap ikut fakta'

Pengerusi badan perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar meminta Presiden AMANAH, Mohamad Sabu supaya berhenti daripada terus mendakwa Malaysia kini diperintah oleh "mafia" ekoran ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Noh yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, berkata ini kerana Lim bukanlah pemimpin pertama yang didakwa di mahkamah.

"Mat Sabu jangan menipu rakyat. Saya nak tanya dalam sejarah kita, (adakah) Lim Guan Eng ketua menteri yang pertama didakwa?

"Kenapa masa (bekas MB Selangor) Dr Mohamad Khir Toyo (didakwa) dia (Mat Sabu) tak cakap benda sama dan DAP tak
bangun menentang?" soal Noh lagi dalam satu temubual dengan Malaysiakini semalam.

Mohamad Khir dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada September tahun lalu selepas disabitkan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta untuk dirinya dan isterinya.

Pada bulan Mac, Mohamad Khir menjalani perintah parol selepas menjalani enam bulan hukumam penjara sebelum dia dibebaskan dua bulan kemudiannya.

Noh mengulas dakwaan Mohamad Sabu bahawa tindakan pihak berkuasa mendakwa ketua menteri Pulau Pinang atas dua pertuduhan penyalahgunaan kuasa menunjukkan Malaysia kini diperintah “mafia”.

Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dalam satu kenyataan berkata, pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Lim kelmarin juga adalah siaran ulangan.

Mengulas lanjut, Noh yang juga anggota Parlimen Tanjong Karang berkata, kelantangan Mat Sabu ini lahir kerana merasakan pakatan pembangkang itu 'kebal dan suci seperti malaikat' hingga tidak boleh berdepan tindakan undang-undang.

"Saya ingat pembangkang ini rasa mereka lebih hebat (hingga dapat mengatasi) undang-undang, macam malaikat yang
tidak boleh disentuh langsung, seolah-olah mereka suci.

"(Bagi mereka kalau) nak tangkap, tangkap BN sebab BN (didakwa) rasuah. Tangkap pemimpin kami (BN), ini politik (BN), ini perancangan (BN), (BN) ini mafia," tegas Noh.

Lim yang juga setiausaha agung DAP didakwa atas dua tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, kelmarin.

Semalam, Lim yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kedua-dua tuduhan itu, dibenarkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Mahkamah tidak memerintahkan Lim menyerahkan pasportnya tetapi beliau perlu memaklumkan kepada mahkamah
dan Jabatan Peguam Negara, dua hari sebelum ke luar negara.

Mahkamah Tinggi menetapkan 22 September depan untuk pengurusan kes.

Lihat Komen
ADS