BERITA Malaysiakini

Laporan Sarawak Report: Mahfuz tanya mana PM, Ambrin

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau atau Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang tidak tampil menafikan laporan terkini Sarawak Report mengenai 1MDB.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, cukup mudah untuk menentukan sama ada dokumen yang berkaitan laporan ketua audit negara berhubung 1MDB adalah palsu atau sahih.

“Hingga kini tiada apa-apa penafian daripada Najib mahu pun ketua audit negara yang mengatakan pendedahan Sarawak Report tentang laporan siasatan 1MDB itu adalah palsu.

“Yang ada hanyalah kenyataan Menteri Komunikasi dan multimedia Datuk Seri Saleh Said Keruak yang menggesa pihak polis menyegerakan siasatan bagaimana kebocoran dokumen rahsia rasmi diperoleh Sarawak Report,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz yang juga bekas naib presiden PAS berkata sepatutnya Ambrin boleh mengesahkan laporan diterbit Sarawak Report itu benar atau tidak selepas membaca mengenainya.

“Jika laporan itu palsu tak timbul dah macam mana laporan boleh bocor. Najib boleh saja ambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report kerana memfitnah,” tegas Mahfuz.

Jelasnya lagi, sekiranya laporan itu benar pihak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara boleh memulakan langkah mengheret Najib yang juga menteri kewangan ke muka pengadilan.

“Hari ini Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) kata nak minta pengesahan dari Ketua Audit Negara terlebih dahulu betul atau tidak yang dilaporkan Sarawak Report.

“Empat hari baru nak dapat pengesahan. Ketua Audit bukan buta Huruf (dan) dia pun baca laporan Sarawak Report. Kalau tak betul dia boleh buat kenyataan serta-merta, kata tak betul,” katanya.

Khamis lalu, Sarawak Report mendedahkan bahawa ia mendapat "akses meluas" mengenai laporan ketua audit negara yang menyiasat 1MDB serta menerbitkan beberapa maklumat yang didakwa daripada laporan itu.

Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan sama ada dokumen yang diterbitkan oleh Sarawak Report itu adalah sahih dan tidak boleh melaporkan kandungannya kerana sekatan undang-undang.