Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
OSA lindungi elit bukan negara, kata peguam Dr M
Diterbitkan:  Jul 11, 2016 7:44 PM
Dikemaskini: 11:53 AM

Akta Rahsia Rasmi (OSA) telah disalahgunakan untuk melindungi golongan elit dan bukan negara, kata peguam Haniff Khatri.

Haniff, yang bertindak selaku peguam kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menganggap kebocoran maklumat di bawah OSA sebagai pengkhianatan.

Ini merujuk kepada laporan ketua audit negara mengenai 1MDB yang diklasifikasikan sulit dan diterbitkan oleh laman pembocor maklumat Sarawak Report.

Haniff berkata dalam hal ini, laporan itu memetik laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) mengenai 1MDB yang telah diumumkan.

Oleh itu tidak ada kebimbangan ia menjejaskan siasatan PAC ke atas 1MDB atau menjejaskan keselamatan awam.

"1MDB dimiliki oleh Perbendaharaan, yang menjawab kepada rakyat, jadi ia kepentingan negara dan rakyat untuk tahu mengenai laporan audit itu secara terperinci.

"Salah satu sebab yang mungkin laporan itu masih diklasifikasikan sulit adalah seseorang berpangkat tinggi terbabit dalam jenayah kes 1MDB - dan kita tidak boleh menolak persepsi ini," katanya dalam Facebook.

Salleh semalam mengeluarkan amaran terhadap kebocoran maklumat kerajaan yang ditumpukan oleh Sarawak Report berhubung laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB.

"Ia adalah membimbangkan bukan sahaja maklumat sulit telah dijual tetapi sesetengahya telah diubah atau dipalsukan dalam usaha untuk mensensasikan isu ini," dakwa Salleh dalam satu kenyataan di blog beliau malam tadi.

"Persoalan utama adalah apa lagi dan bahkan lebih banyak maklumat telah dijual yang kita tidak sedari. Dan ini yang meletakkan keselamatan negara dalam risiko dan ini adalah tidak lain daripada perbuatan khianat," katanya.

Lihat Komen
ADS