Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
FFM: Majlis Tanya Finas tegang, Yusof nafi ada kepentingan

Perbincangan ketika Majlis Tanya Finas bertukar tegang apabila Pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam menafikan dakwaan ke atasnya yang dikatakan mempunyai kepentingan peribadi dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28.

Dua karya terbitan Skop Production Sdn Bhd milik Yusof yang dihasilkan oleh Syamsul Yusof (Munafik) dan Syafiq Yusof (Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit) tersenarai dalam pencalonan akhir bagi kategori Filem Terbaik.

Yusof ketika ini menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan pada masa sama memegang tampuk Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) iaitu penganjur bersama FFM ke-28.

"Saya langsung tidak mengetahui siapa yang menjadi juri.

"Kami hanya menghantar Nancy Foo seorang sebagai juri.

"Tiada sebab saya mahu menggunakan kepentingan peribadi dalam FFM," katanya.

Turut hadir dalam Majlis Tanya Finas adalah Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif PFM Pansha.

Tak mahu babitkan diri lagi

Dalam sesi yang diadakan malam tadi di Kuala Lumpur, Yusof turut menyatakan hasrat tidak akan membabitkan diri lagi dalam pertandingan FFM akan datang.

"Sebenarnya saya tidak berminat untuk memegang jawatan sebab saya dan anak orang yang aktif dalam berkarya jadi akan timbul isu kepentingan peribadi seperti yang dihadapi ini.

"Bagilah peluang lepas ini kepada orang muda untuk memegang jawatan ini pada masa depan," katanya.

Yusof diasak dengan pelbagai soalan oleh penggiat industri yang hadir dalam majlis bagi menyuarakan cadangan dan maklum balas mengenai penganjuran FFM.

Antara mereka yang hadir adalah barisan pelakon, pengarah dan penerbit seperti Ellie Suryati, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Shuhaimi Baba, Datuk David Teo dan Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (PENULIS) Alfie Palermo.

Mengenai pendirian Finas pula, Kamil menjelaskan dia percaya bahawa Yusof tidak seperti didakwa malah penganjuran FFM ke-28 dijalankan dengan telus.

Menurutnya, sesi Majlis Tanya Finas itu turut mendapat maklum balas yang memberangsangkan.

"Saya percaya malam ini kita menerima maklum balas positif dan ramai di sini sebenarnya bersetuju dengan kami.

"Buat masa ini segala cadangan akan diusulkan kepada menteri dan dibincangkan bersama demi penambahbaikan yang lebih baik buat FFM," katanya.

FFM ke-28 sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila filem bahasa Malaysia dan bukan bahasa Malaysia diasingkan dalam kategori berbeza.

Keadaan itu menyebabkan beberapa filem - seperti Ola Bola dan Jagat - dicalonkan untuk kategori filem bukan dalam bahasa Malaysia sehingga dikritik penggiat seni tanah air. 

Antaranya pengarah, pelakon dan pelawak Afdlin Shauki yang mengumumkan untuk memboikot penganjuran FFM kali ini.

Manakala PENULIS pula sebelum ini menyifatkan pembahagian dua kategori itu berbaur perkauman.

Malam kemuncak FFM ke-28 dijadual berlangsung pada 3 September depan di Dewan Hall Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada pukul 9 malam.

 

Lihat Komen
ADS