Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahdzir: Hukum dalang salur maklumat pada anasir luar

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan tindakan rakyat Malaysia yang menjadi dalang menyalur
maklumat kepada pihak luar sebagai satu perbuatan melampau dan perlu dikenakan tindakan tegas.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata tindakan itu perlu dihukum
kerana mencemar imej dan maruah negara selain boleh mengundang campur tangan asing sedangkan Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang telah 59 tahun merdeka.

"Kita tak nak segala anasir luar datang campur tangan dalam negara, kalau mereka datang campur tangan kemudian kita pulak jadi dalang dan salur maklumat, ini sudah tentu merosakkan negara.

"Kita bercakap pasal kedaulatan, isu negara bangsa, mana boleh diadu domba kepada orang lain, ini perbuatan melampau dan jika ada rakyat berbuat demikian kena cari dan hukum orang seperti itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Maran hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Menurutnya Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi dan berdaulat tidak memerlukan campur tangan kuasa asing untuk menentukan corak pentadbiran dan pimpinan negara.

"Ini soal maruah, soal tanah air dan soal kepimpinan, perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) rakyat yang pilih melalui perundangan yang sah iaitu pilihan raya, jadi sebagai rakyat Malaysia kita mesti ada solidariti dan kekuatan untuk sokong perdana menteri kita," katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut menasihati rakyat agar tidak mudah
terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang tidak benar mengenai kepimpinan negara sebaliknya terus bersatu untuk mempertahankan keamanan yang dikecapi negara selama ini.

Katanya jentera UMNO juga akan turun padang untuk memberi penerangan kepada anggota parti dan rakyat supaya mereka mendapat gambaran jelas tentang isu-isu berkenaan.

Sebelum itu, ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Indera Mahkota, di Kuantan, beliau menyeru semua pemimpin dan anggota UMNO bahagian berkenaan ketepikan unsur khianat dan hasad dengki jika mahu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen
di situ.

"Kita tidak mahu buat kerja yang sia-sia selepas bertungkus lumus
membuat persiapan selama empat tahun akhirnya kalah disebabkan pemimpin dan ahli parti bergaduh, sabotaj dan khianat sesama sendiri...akhirnya kita rugi, wang, tenaga dan masa habis begitu sahaja.

Unsur khianat kepada parti adalah antara faktor menyebabkan kerajaan BN Kedah tumbang pada pilihan raya 2008. Jadinya semua anggota UMNO Bahagian Indera Mahkota jangan khianat dan sabotaj parti sendiri jika mahu menang dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Persidangan itu turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid dan ketua-ketua sayap.

-Bernama

Lihat Komen
ADS