Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Korban bererti kebersamaan lawan kleptokrasi - Anwar
Diterbitkan:  Sep 12, 2016 11:22 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara menggesa rakyat untuk menghayati pengertian nilai-nilai pengorbanan dalam melawan kemungkaran, penganiayaan dan amalan rasuah yang berleluasa dalam negara.

Dalam perutusan Aidil Adha, hari ini, Ketua Umum PKR mahu setiap rakyat mengambil iktibar kesabaran Nabi Ibrahim dan Ismail, bahawa keikhlasan, ketaatan dan kecintaan kepada Allah lebih utama dari diri sendiri dan anak pinak.

“Erti pengorbanan dalam konteks yang lebih luas adalah kebersamaan kita untuk bangkit menentang kebobrokan, amalan nepotisme serta kronisme dan sekarang telah ada istilah terkini kleptokrasi.

“Inilah yang diperjuangkan sekian lama,” kata Anwar dalam perutusan Aidiladha bersama dengan isterinya yang juga adalah presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Buktinya, kata mereka, parti Umno hari ini berpecah dengan semua yang meninggalkan parti Melayu itu berkata, Umno sudah lari dari asas perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Menurut mereka, Umno hanya memenuhkan tembolok penguasa dengan melahap harta milik rakyat dan negara.

“Kita mesti melawan kemungkaran, penganiayaan dan amalan rasuah yang berleluasa dalam negara.

“Penguasa yang menzalimi rakyat, menindas rakyat dengan pelbagai cukai yang tidak munasabah seperti GST, menjarah harta negara menerusi skandal 1MDB yang memalukan negara di mata dunia, tidak harus kita diamkan.

“Allah menyuruh kita memperbetulkan kemungkaran dengan tangan, mulut atau sekurang-kurangnya membenci di dalam hati, yang merupakan selemah-lemah iman,” kata mereka.

Justeru, bersempena dengan Aidiladha ini, Anwar bersama Wan Azizah mengajak rakyat untuk bersama memperjuangkan keadilan.

“Kita mengajak rakyat Malaysia untuk bersama dengan kita, memperjuangkan keadilan dalam erti kata sebenar.

“Kembalikan tampuk politik, perancangan ekonomi dan sistem sosial kita di landasan yang betul, untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia, dari kalangan berbilang kaum dan agama,” kata mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS