story image
mk-logo
Berita
Ali Tinju dakwa 'ugutan' ke atas Maria Chin disalah petik
Diterbitkan:  Sep 21, 2016 4:05 AM
Dikemaskini: 4:09 AM

Pemimpin Gerakan Merah, Mohd Ali Baharom menafikan dirinya mengeluarkan ugutan terhadap Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah.

Mohd Ali, yang juga dikenali sebagai Ali Tinju, sedang disiasat polis berhubung ugutan jenayah selepas beliau dipetik sebagai berkata Maria “tidak akan berjalan di atas bumi” berikutan pengumuman bahawa perhimpunan BERSIH 5 akan diadakan pada 19 November ini.

"Saya tidak bersalah. Saya tidak habiskan ayat saya (dan media) tidak mempunyai sebarang rakaman atau video yang memetik saya mengeluarkan apa-apa (ugutan)," katanya yang dipetik The Sun.

"Komen saya bukannya ugutan ... Saya tidak akan menarik balik kenyataan saya dan tidak ada keperluan untuk saya minta maaf," katanya.

Semalam, Maria melahirkan kembimbangan mengenai keselamatannya, dan mempersoalkan mengapa polis boleh mengarahkan ahli parlimen DAP Jeff Ooi menyerahkan diri, manakala Mohd Ali masih bebas berkeliaran.

Ooi semalam ditangkap berhubung tweet baru-baru ini mengenai pemergian Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din dan dibebaskan kemudian dengan jaminan polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Maria juga akan disiasat berhubung dakwaan menjalankan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Mohd Ali berkata beliau akan bekerjasama dengan siasatan polis.

Beliau juga akan meneruskan rancangan untuk mengadakan "senaman tonggeng" di hadapan rumah Maria jika perhimpunan 19 Nov tidak dibatalkan.

Pada tahun 2012, Ali mengetuai sekumpulan bekas anggota tentera dalam melakukan senaman yang sama di hadapan rumah pengerusi bersama BERSIH ketika itu, Datuk S Ambiga, kerana membantah rancangan mereka mengadakan perhimpunan menuntut pembaharuan pilihan raya.

Mohd Ali turut mencabar Maria bertanding menentangnya di Bandar Tun Razak pada pilihan raya umum akan datang, lapor The Sun.

[Baca berita penuh]

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS