story images
story images
mk-logo
Berita
Pembangkang kecewa tidak dibenar bertemu pegawai SPR

Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini mendakwa kecewa apabila wakil mereka tidak dibenarkan bertemu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan.

Anggota Parlimen DAP Tan Kok Wai berkata, mereka dimaklumkan tidak dibenarkan melawat pejabat badan pengendali pilihan raya berkenaan bagi mengetahui maklumat lebih lanjut tentang persempadanan semula kawasan parlimen.

Menurutnya, SPR sudah dimaklumkan mengenai rancangan mengadakan lawatan berkenaan namun Tan mendakwa terdapat arahan supaya mereka tidak membenarkan mereka memasuki pejabat tersebut.

"Kami sudah beritahu akan melawat pejabat SPR untuk tahu lebih lanjut maklumat dan penerangan termasuk peta-peta persempadanan kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.

"Pada mulanya mereka dinasihatkan supaya jangan terima kunjungan kami secara rasmi tapi boleh melawat dan dapatkan maklumat.

"Tapi hari ini saya hairan dan terkejut kerana (berdasarkan) kejadian dan pengalaman yang kami alami petang ini, nampaknya SPR bukan saja diperalat BN tetapi badannya sendiri diperalatkan supaya melarang (HARAPAN) untuk buat kajian terhadap syor persempadanan semula," katanya.

Tan berkata demikian pada sidang media di lobi bangunan TH Selborn di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

Turut menyertai rombongan itu, Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara Dr Hatta Ramli, Naib Presiden PKR yang juga Pengarah Pilihan Raya parti itu, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.

Sehubungan itu kata Tan bulan depan HARAPAN akan menghantar notis bantahan terhadap 11 kawasan parlimen yang terlibat dalam persempadanan semula itu kepada SPR.

Mereka juga akan mengumpulkan 100 pengundi untuk kemukakan bantahan persempadanan semula bagi memberi tekanan kepada SPR.

Sementara itu, seorang pegawai SPR Wilayah Persekutuan yang enggan namanya disebut berkata, mereka tidak menghalang wakil rakyat HARAPAN untuk bertemu pihaknya.

Malah, pegawai terbabit juga memberitahu SPR terbuka untuk menerima kedatangan sesiapa saja bagi melihat maklumat cadangan persempadanan semula yang dipamerkan.

"Mereka (wakil rakyat HARAPAN) boleh kata apa saja (bagaimanapun) SPR tak menghalang. Sesiapa nak naik, boleh naik (ke pejabat SPR).

"Cuma, kalau mereka nak kemukakan bantahan, kenalah ikut prosedur, kena bertulis.

"(Kalau) untuk naik dan tengok pameran, SPR tak ada masalah," kata pegawai berkenaan.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini