story image
mk-logo
Berita
AMANAH mahu HARAPAN bertindak segera tangani pelan SPR
Diterbitkan:  Sep 23, 2016 9:20 AM
Dikemaskini: 9:26 AM

Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Dzulkefly Ahmad mahu Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) segera mengadakan dan menyokong pelan tindakan bersepadu untuk membantah cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Katanya apa yang perlu dilakukan secepat mungkin ketika ini ialah Majlis Presiden HARAPAN memanggil mesyuarat dan meluluskan pelan tindakan yang sudah disediakan sekretarian HARAPAN.

Dalam kenyataan dikeluarkannya hari ini Dzulkefly berkata dengan cabaran besar menanti, pemimpin HARAPAN tidak ada pilihan kecuali segera bermesyuarat selepas anggota sekretariat gabungan pembangkang itu bersetuju terdapat beberapa tindakan konkrit yang perlu dilaksanakan.

"Walaupun amat memahami kebimbangan yang menjadi asas veteran DAP Lim Kit Siang menyarankan pilihan raya mengejut di Selangor, AMANAH juga bersetuju dengan pendirian Datuk Seri Azmin Ali yang mentadbir negeri itu bahawa kepentingan rakyat Selangor mesti diutamakan," katanya.

Justeru bekas anggota parlimen Kuala Selangor itu menggesa semua pihak yang berkaitan menggembleng tenaga memberi pendidikan kepada rakyat mengenai isu berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya di semua negeri - kecuali Sarawak - menjelang pilihan raya umum ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

Secara keseluruhan 128 daripada 222 kawasan parlimen sedia ada akan terlibat dengan persempadanan semula itu.

Berada di pihak sama

Tiga negeri yang paling banyak mengalami perubahan ialah Johor (21 kawasan pilihan raya), Selangor (18) dan Perak (17).

Dua belas kerusi parlimen dan 36 kerusi DUN akan bertukar nama. Antaranya Petaling Jaya Utara menjadi Damansara dan Bagan Datok menjadi Bagan Datoh.

Sarawak terkecuali daripada pelaksanaan kali ini kerana negeri itu sudah melakukannya pada tahun lalu.

Mengikut perlembagaan, hanya tiga kumpulan yang berhak mengemukakan bantahan terhadap cadangan SPR iaitu kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan yang melibatkan sekurang-kurangnya 100 pengundi berdaftar.

Bagaimanapun bantahan itu hanya boleh dibuat pada kawasan yang terlibat dengan pihak berkenaan secara langsung.

Menurut Dzulkefly perbezaan pendapat antara Lim dan Azmin mesti diketepikan kerana mereka berada di pihak yang sama.

SPR pula katanya melanggar setiap keperluan persempadanan semula yang adil dan bermakna seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau merujuk kepada Seksyen 2 (c), Bahagian 1, Jadual ke-13 Perlembagaan, yang dengan jelas menetapkan bahawa dalam negeri yang sama sesebuah kawasan pilihan raya mesti bersaiz "lebih kurang sama".

"Pengecualian bukan untuk semua kawasan luar bandar, tetapi hanya untuk kawasan pilihan raya dengan kawasan geografi yang luas," katanya.

[Baca berita asal]

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS