Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Satukan pembangkang - Muhyiddin berani gagal
Diterbitkan:  Oct 6, 2016 1:31 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak pernah termimpi perlu memikul tugas menyatukan parti pembangkang di negara ini sejak terlibat dalam politik 45 tahun lalu.

Bagaimanapun kata bekas timbalan perdana menteri itu tanggungjawab berkenaan dipikulnya demi satu matlamat iaitu menyelamatkan Malaysia.

Bercakap kepada Sinar Harian Muhyiddin mengakui tugas itu tidak mudah namun menganggapnya satu cabaran.

“Saya tidak takut kalau saya gagal. Lebih baik saya gagal setelah saya berusaha daripada gagal tanpa berbuat apa-apa,” katanya.

Muhyiddin adalah timbalan presiden Umno apabila dipecat daripada parti berkenaan dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama sejumlah ahli Umno yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau kini adalah presiden penaja BERSATU, manakala bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pengerusi parti berkenaan.

Menjelang pilihan raya umum ke-14 beliau dilihat cuba menjadi penghubung antara pelbagai parti pembangkang untuk memastikan BN ditentang atas formula satu lawan satu.

Langkah itu dilihat ketara ketika beliau berucap di atas pentas PAS dalam majlis anjuran parti berkenaan di Terengganu.

PAS yang kini memusuhi DAP bergerak dengan gagasan politik matang dan sejahtera selepas bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia pimpinan veteran Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Pada masa sama pemimpin utama BERSATU lebih mesra dengan DAP serta PKR dan AMANAH yang membentuk Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kata Muhyiddin beliau yakin usaha BERSATU menjadi orang tengah menyatukan pembangkang akan berjaya berdasarkan reaksi positif diterimanya.

“Bagi saya ini satu cabaran. Jika BERSATU boleh berperanan sebagai parti politik dan saya dianggap sebagai penghubung atau faktor yang boleh mengikat hubungan silaturahim (pembangkang) demi tujuan yang baik, saya sanggup," katanya.

Hasil pertemuan dengan PAS kata Muhyiddin parti itu dilihat sedia kerjasama namun ada beberapa aspek yang perlu "disusun".

Di pihak lain katanya BERSATU tidak ada masalah untuk membentuk kerjasama dengan HARAPAN.

"Kita harap akhirnya kata sepakat itu dapat dicapai dalam apa juga bentuk,” katanya.

Lihat Komen
ADS