Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Poster anti BERSIH: Saya hanya viral je, kata Zein Isma

Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berang dengan tuntutan sekumpulan mahasiswa yang mendakwanya mencuri dan memanipulasikan gambar mereka serta menyebarkannya di media sosial.

Katanya, beliau tidak mengetahui gambar itu telah dimanipulasikan, sebaliknya mendakwa dirinya hanya berkongsi setelah menjumpainya di group Whatsapp.

“Saya tak tahu, saya tolong kongsi orang punya (gambar). Banyak group yang kongsi, saya ambil dari group itu sebab saya punya group (Whatsapp) pun beratus,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kumpulan sembilan aktivis pelajar yang diketuai oleh Atyrah Hanim Razali dalam satu kenyataan media hari ini membidas tindakan Umno yang didakwa sebagai terdesak sehingga sanggup memanipulasikan gambar mereka.

Menurut mereka, Umno begitu terdesak sehingga ‘mencuri dan photoshop’ gambar sebenar bersama plakad bertulis ‘Save Ulu Papar’ dan menukarnya dengan tulisan “Kami Tolak BERSIH”.

Mengulas desakan kumpulan itu yang mahunya memohon maaf dan mengambil tindakan undang-undang, Zein berkata beliau berbuat apa-apa sekiranya Atyrah mahu berbuat demikian.

“Kalau mereka nak buat laporan polis dekat saya apa saya boleh buat, saya viralkan sahaja. kalau nak hukum-hukum lah…

“(Tapi) pihak polis pasti ada alat dia untuk kesan (siapa yang edit) dan forensik siapa yang buat. Kalau nak kira (buat laporan) macam tu tak terlayan lah mahkamah esok.

“Saya pun banyak laporan polis terhadap Malaysiakini pun ada. Saya viral je, ramai je viral kalau nak tangkap, tangkap semua lah,” katanya dengan nada sinis.

Dalam pada itu Zein turut menegaskan bahawa perhimpunan BERSIH5 yang akan berlangsung 19 November ini tidak wajar diteruskan.

Katanya, sekiranya perhimpunan BERSIH diadakan, beliau akan turun bersama kumpulan ‘baju merah’ bagi menentang kumpulan tersebut.

“Apa mereka (BERSIH) ingat isu mereka tak banyak, isu mereka lagi banyak kenapa tak fikir. ini kerana hasutan geram, emosi nak buat huru hara dalam negara dan saya pihak yang amat menentang.

“Saya setuju dengan tindakan baju merah. Kami (baju merah) tunggu masa dan ketika, jangan rosakkan keselamatan negara termasuk akhbar macam puan.

“Saya sendiri akan turut serta, bukan sahaja baju merah, kita akan tentang (BERSIH) habis-habisan,” katanya.

Lihat Komen
ADS