Polis tahan 12 anggota 'Geng 36' kerana serang pemuda

Bernama        

Polis menahan 12 daripada 20 anggota kongsi gelap 'Geng 36' selepas menyerang sekumpulan pemuda menggunakan senjata tajam di
Kampung Pisang, Chemor di Ipoh Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak Datuk Gan Tian Kee berkata dalam kejadian 29 Okt lalu kira-kira 2 pagi, kesemua mangsa diserang akibat menceroboh kawasan kumpulan terbabit.

"Sewaktu kejadian sebuah kereta peronda polis secara kebetulan membuat rondaan di kawasan berkenaan, namun suspek melarikan diri apabila ternampak kereta peronda polis.

"Hasil maklumat dan risikan dijalankan, polis kemudian menahan 12 suspek di sekitar Chemor bermula 31 Okt hingga 1 Nov," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Katanya serangan kumpulan berkenaan menyebabkan tujuh orang berumur lingkungan 21 hingga 24 tahun mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Menurut Gan, hasil siasatan mendapati tiga daripada 12 suspek yang ditahan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk rusuhan, mendatangkan kecederaan serta melanggar perintah sekatan.

Katanya semua suspek ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Merusuh Dengan Senjata) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 13 senjata tajam pelbagai saiz
termasuk parang, kerambit, dan pisau serta dua motosikal dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan jenayah kekerasan kumpulan itu.
-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In