Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TH cukup dana bayar semua sekali gus, ada lebihan RM1.44b
Diterbitkan:  Nov 2, 2016 4:20 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Lembaga Tabung Haji (TH) kini mempunyai nilai aset boleh direalisasikan berjumlah RM64.74 bilion berbanding liabiliti kepada pendeposit sebanyak RM59.33 bilion.

Justeru, kata Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Johan Abdullah, pihak mampu untuk mengembalikan kesemua deposit oleh pencarum jika wujud keperluan untuk berbuat demikian.

"TH masih mempunyai lebihan sebanyak RM1.44 bilion jikalau kami mengembalikan semua dana pendeposit.

"Ini (analisis) tidak betul, jangan politikkan Tabung Haji," kata beliau sebagai menjawab dakwaan Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli semalam, memetik laporan theedgemarkets.com.

Rafizi mendakwa dana TH berada dalam kedudukan defisit sekitar RM3 bilion ekoran kerugian yang ditanggung daripada aktiviti pelaburan.

Menurut setiausaha agung PKR itu, kerugian berkenaan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 itu menyebabkan dana terkumpul semasa ialah RM56.24 bilion berbanding jumlah deposit terkumpul sebanyak RM59.33 bilion.

"Minggu lalu Tabung Haji telah mengeluarkan keputusan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan terkini 31 Disember 2015 dan menerusi analisis pergerakan dana pendeposit menunjukkan jumlah simpanan bersih bagi tahun itu merosot lapan peratus sedangkan selama enam tahun dari 2009 hingga 2015 simpanan bersih bertambah pada purata 22.6 peratus.

"Dengan angka-angka yang tidak memberangsangkan sebegini, sudah tentu ia tidak mengejutkan apabila analisa kebolehupayaan Tabung Haji membayar semula simpanan pendepositnya menunjukkan jika pendeposit mengeluarkan sekaligus pada tempoh itu ia akan kekurangan wang untuk memulangkan semua simpanan," katanya pada sdang media di Parlimen.

Mengulas lanjut, Johan berkata, dana pendeposit TH juga selamat kerana dijamin oleh kerajaan di bawah Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

"Dalam 53 tahun kewujudan TH, kami tidak pernah meminta jaminan (bantuan) itu," ujar Johan sambil menambah bahawa dana masih mampu dikembalikan tanpa bantuan kerajaan sekiranya semua pendeposit melakukan pengeluaran.

Mengulas mengenai cadangan Rafizi kepada TH untuk membuat pendedahan interim kedudukan kewangannya, Johan berkata, TH "tidak ada isu dengan berbuat demikian, pada dasarnya".

"Tetapi mesti sedar mengenai (perundangan) rangka kerja yag harus kami patuhi," tambah beliau sambil berkata, apa jua yang dilaksanakan TH haruslah selaras dengan akta berkenaan.

Untuk tahun kewangan 2015, TH mencatatkan perolehan sebanyak RM4.08 bilion, meningkat sebanyak 37 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai pula sebanyak RM3.54 bilion, 18.7 peratus lebih tinggi daripada 2014, menurut laporan tahunan TH.

Jumlah aset kumpulan itu pula, setakat 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM60.19 bilion berbanding RM734.2 juta dalam jumlah liabiliti yang ditanggungnya.

Lihat Komen
ADS