Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini membuka pintu seluas-luasnya kepada Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berikutan ura-ura ahli parlimen Tambun itu akan dipecat dari Umno berikutan soalannya mengenai skandal 1MDB di Dewan Rakyat.

Pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin berkata partinya kini hanya memerhati langkah seterusnya yang bakal diambil oleh Ahmad Husni.

"Semua mengikuti perkembangan yang sedang berlaku walaupun saya percaya beliau mempunyai masalah bila menyatakan secara terbuka pendirian beliau di Parlimen baru-baru ini dan kita semua tahu persoalan penting adakah Umno akan mengambil apa-apa tindakan.

"Mungkin beliau akan diambil tindakan atau tidak kita tak tahu tetapi bagi kami, kami memerhati perkembangan itu dari jauh.

“Walau apa pun kalau Datuk Seri Husni rasa agak selesa untuk bersama dengan kita 'kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan," kata Muhyiddin yang juga dipecat dari Umno tahun lalu kerana lantang membidas isu 1MDB.

Namun, ketika diajukan soalan apakah BERSATU akan menyediakan jawatan penting kepada Ahmad Husni, Muhyiddin berkata biarlah keputusan dibuat satu persatu.

Ahmad Husni menjadi kontroversi apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia baru-baru ini menimbulkan kemungkinan bekas menteri kewangan kedua itu melanggar sumpah kerahsiaan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.

Beliau dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Isnin lalu tetapi pihak polis menangguhkannya ke minggu hadapan.

Nasib Ahmad Husni menjadi persoalan apabila ada pemimpin akar umbi yang mendesar beliau dipecat.

Bagaimanapun sehingga semalam seperti yang dimaklumkan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa kedudukan Ahmad Husni tidak berbangkit.

Lihat Komen
ADS