Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Beberapa anggota Parlimen Pakatan Harapan melahirkan kebimbangan mengenai projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion yang tidak mengikut beberapa proses kelulusan.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, ECRL tidak mengikut kajian pra-keboleh upayaan atau pre-feasibility study (PFS), kajian keboleh upayaan atau feasibility study (FS) dan kajian keputusan pelaburan akhir atau final investment decision (FID).

Kata beliau yang juga setiausaha agung PKR itu, kajian berkenaan melibatkan anggaran jumlah penumpang, anggaran tiket, anggaran kos dan pertimbangan lain yang boleh menunjukkan sama ada projek ini boleh dibiayai tanpa membebankan rakyat.

“Kami, ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan melahirkan kebimbangan di atas perkembangan terkini berkaitan projek ECRL yang dilaporkan akan menelan belanja RM55 bilion.

“Soalan-soalan seperti berapa harga tiket yang dicadangkan serta berapa kenaikan harga tiket dalam tempoh 20 tahun akan datang adalah soalan-soalan yang perlu diputuskan terlebih dahulu sebelum kerajaan menandatangani kontrak dengan kerajaan China,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lobi Parlimen. hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen dan Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming.

Dalam pada itu, mereka mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan mengenai perkara itu terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang komitmen kepada kerajaan China.

“Oleh yang demikian, kami mendesak supaya Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan di Parlimen (berkenaan) 3 kajian ini iaitu PFS, FS dan FID sebelum sebarang komitmen diberikan kepada Kerajaan China.

“Ia kerana jumlah RM55 bilion adalah jumlah yang besar dan perlu diluluskan Parlimen,”tegasnya.

Najib kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China mulai Isnin yang lalu dengan syarikat Malaysia dan China akan memeterai lebih 10 perjanjian termasuk pelaburan dalam pembinaan pelabuhan, pemasangan paip gas dan kilang penyahgaraman air, e-dagang, pengilangan panel solar serta pembinaan.

ECRL merupakan pelaburan tunggal terbesar China di Malaysia.

Lihat Komen
ADS